Slogan baru dalam surat kerajaan hanya propaganda – MP

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng membidas arahan untuk menambah slogan “Prihatin Rakyat: Darurat Memerangi Covid-19” dalam surat rasmi kerajaan yang berkuat kuasa hari ini.

Meskipun dikatakan selaras dengan pengisytiharan darurat bagi membendung penularan Covid-19, Lim mempersoalkan, apakah frasa itu sebenarnya tidak lebih daripada satu propaganda politik.

“Namun begitu, penggantian frasa ini hanya dilihat sebagai sebuah persembahan yang tuli dan buta dengan keluhan rakyat.

“Apakah frasa baru ini cadangan yang datang daripada petugas barisan hadapan seperti pakar-pakar perubatan atau adakah frasa ini hanya sebahagian daripada propaganda politik J-KOM yang dikuat kuasakan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Jabatan Perkhidmatan Awam mengeluarkan surat yang mewajibkan frasa itu dimuatkan sebelum “Berkhidmat untuk Negara” dalam surat rasmi, sepanjang tempoh darurat bagi menggantikan frasa “Saya yang menjalankan amanah”.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, keputusan itu selaras dengan pengisytiharan darurat serta hasrat kerajaan supaya penjawat awam memberi komitmen sepenuhnya untuk menangani Covid-19.

Kata Lim, kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberikan gambaran seolah-olah tiada cara lain untuk melandaikan keluk jangkitan Covid-19 melainkan dengan mengisytiharkan darurat.

Sedangkan, dia memberi bayangan bahaya hal seperti pemberian vaksin dan pemerkasaaan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu ditekankan ketika berhadapan pandemik itu.

Malah, tambahnya, negara-negara lain sudah pun memulakan program vaksinasi, dan meskipun mencatat angka jangkitan lebih tinggi, mereka tidak pun mengisytiharkan darurat bagi mengatasi masalah Covid-19.

Kata Lim, ada banyak lagi slogan lebih sesuai untuk menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam mendepani cabaran Covid-19, seperti: Pelitup Muka Memerangi Covid-19, Jarak Sosial Memerangi Covid-19, Kebersihan Kendiri Memerangi Covid-19 dan Vaksin Memerangi Covid-19.

“Dalam pada itu, parlimen dan dewan undangan negeri juga tidak dibenarkan untuk bersidang sedangkan taska boleh.

“Jelasnya, proklamasi darurat ini hanya dilihat sebagai senjata politik oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengekalkan jawatan beliau,” katanya lagi.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker