‘Kita Lapor Polis, kita Pula Kena Siasat’

JOHOR BAHRU – Kira-kira 150 penghuni yang tinggal di Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang hidup dalam kebimbangan apabila pekerja warga asing yang dikenakan kuarantin selepas menjalani ujian Covid-19 ditempatkan di dua buah rumah di taman perumahan berkenaan.

PENDUDUK memasang sendiri tali pita dan tanda amaran di sebuah rumah di Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang yang dijadikan pusat kuarantin sementara pekerja warga asing sebuah syarikat.

Menurut salah seorang penduduk, Roslizal Basir, 40, mereka kesal dan terkilan apabila pihak pengurusan kilang serta pihak berkuasa seolah-olah lepas tangan dalam menangani penularan pandemik Covid-19.

“Rumah saya sebelah dengan rumah yang disewa pihak kilang berkenaan untuk dijadikan asrama pekerja mereka. Tapi apa yang kami bimbang ialah pekerja yang dikuarantin ditempatkan di dua buah rumah di kawasan sini.

“Benda ini dah lebih seminggu, bila kita buat laporan kepada pihak polis, polis datang kami pula yang kena siasat selain perlu menunggu arahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bila buat laporan kita hubungi pihak berkuasa tempatan mereka cakap suruh e-mel, kita dalam keadaan terdesak dan benda ini tak boleh dipandang mudah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Rosliza berkata, persatuan penduduk menyedari dua rumah berkenaan dijadikan penempatan sementara pekerja yang dikenakan kuarantin sejak seminggu lalu.

Katanya, tiada sebarang tanda amaran mahupun pemantauan daripada pihak syarikat atau mana-mana pihak berkuasa sebagai langkah mencegah penularan Covid-19 secara berjadual atau sebagainya.

“Lebih kurang dalam 20 pekerja warga asing yang memakai gelang pink ditempatkan di dua buah rumah. Kami ada anak-anak, orang tua juga tinggal dekat sini, virus ini tidak nampak boleh berjangkit bila-bila masa.

“Dengan tak pasang tali tanda amaran, dengan tak ada pemantauan, yang ada cuma hantar makanan, terpaksa kami buat sendiri pasang tali pita dan berjaga,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penduduk Lorong Lampam 43, Mohd. Rizal Mohd. Anuar berharap pihak berkuasa mengambil pendekatan yang sewajarnya dalam mengekang penularan pandemik berkenaaan.

Jelasnya, pihak kerajaan khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu mengarahkan pihak pengurusan syarikat menyewa atau memindahkan pekerja yang dikuarantin terbabit ke kawasan yang jauh daripada penduduk.

“Perkara ini tidak boleh dipandang remeh dan ambil mudah, jadi kami berharap pihak berwajib buka mata melihat keresahan rakyat seperti kami.

“Kami juga ada hak, hak keselamatan kami juga perlu dipandang serius,” katanya.-Kosmo

Siasat walaupun berita palsu dipadam, Ismail beri amaran

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker