17 MPV Polis Kejar Penjenayah Dari Johor Bahru Hingga Ke Kluang

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki tempatan yang disyaki pengedar dadah berjaya ditahan ketika cubaan melarikan diri pada Selasa malam.

Namun sebelum itu, lelaki berusia 45 tahun itu mencetus ‘drama’ kerana dikejar 17 kereta peronda polis (MPV) di Kilometer 58 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, lelaki terbabit yang memandu Toyota Altis itu ditahan di susur keluar Simpang Renggam, Kluang, pada jam 8 malam Selasa.

“Pemeriksaan dalam kenderaan yang dipandu suspek turut menjumpai sejumlah dadah disyaki syabu dan pil ekstasi. Jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM50,000.

“Kejadian berlaku semasa anggota polis dari Cawangan MPV IPD JBS melakukan tugas ronda cegah jenayah dan Kawalan Pergerakan COVID-19. Semasa rondaan, pihak polis melihat sebuah kereta berwarna putih dalam keadaan mencurigakan di Jalan Lembing, Taman Sri Tebrau, di sini jam 7.15 malam.

“Anggota polis tersebut telah bertindak mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan, tetapi suspek bertindak memecut laju bagi tujuan melarikan diri ke arah Jalan Kasa dan keluar ke Lebuhraya EDL dengan memandu dalam keadaan berbahaya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Menurut Mohd Fadzli, dalam kejadian tersebut, anggota polis itu telah dibantu oleh anggota polis dari Cawangan MPV dengan melibatkan 17 buah kereta peronda polis dari lima daerah.

“Ia membabitkan MPV dari IPD JBS, IPD Johor Bahru Utara, IPD Iskandar Puteri, IPD Kulai dan IPD Kluang serta dari Peronda Lebuhraya, telah membuat cut off di Kilometer 58 Lebuhraya Utara Selatan arah utara sebelum menahan suspek.

“Hasil semakan mendapati kenderaan yang digunakan suspek merupakan kenderaan yang telah didaftarkan atas nama syarikat kereta sewa. Suspek mempunyai beberapa rekod jenayah dan kes dadah,” katanya.

Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula pada tarikh hari ini hingga 2 Februari depan.

Kes sedang disiasat di bawah seksyen 186 Kanun Keseksaan dan seksyen 39(8) Akta Dadah Berbahaya 1952.

4 anggota pasukan keselamatan cemas MPV Polis terbakar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker