Setahun Covid-19: Terkesan dan semakin penat semoga ada pengakhiran


Genap setahun penularan wabak Covid-19 di negara ini ternyata pandemik yang tercetus di Wuhan China itu memberi kesan yang amat mendalam kepada segenap lapisan rakyat tanpa mengira sektor.

Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan disusuli dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu dipatuhi untuk melandaikan keluk kes Covid-19 di peringkat awal memberi kesan yang memberangsangkan, namun gelombang kedua membawa cerita yang berbeza.

Saringan secara besar-besaran di seluruh negara terutamanya melibatkan asrama pekerja menyebabkan jumlah kes baharu melonjak dan kematian yang direkodkan juga bertambah dari sehari ke sehari.

Paling membimbangkan lonjakan kes juga disebabkan oleh kegagalan pematuhan SOP seperti merentas kawasan, mengadakan perhimpunan dan tidak memakai pelitup muka.

Sehingga semalam sebanyak 183,801 kes positif Covid-19 telah dicatatkan dengan 678 kematian manakala 141,446 atau 77 peratus pesakit telah sembuh daripada virus ini.

Memasuki gelombang ketiga, seperti yang ditegaskan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, di sebalik segala kerja keras untuk membendung wabak ini, penghujung Covid-19 masih belum kelihatan.

Bekas kakitangan swasta, A. Kamaladevi ketika ditemui MalaysiaGazette berkongsi pengalaman yang terpaksa dilalui akibat pandemik Covid-19.

Katanya, dia telah diberhentikan kerja oleh majikannya kerana syarikat tempatnya bertugas tidak lagi mampu untuk membayar gaji pekerja.

Wanita berusia 50 tahun itu bagaimanapun redha dengan apa yang berlaku kerana memahami situasi semasa serta keadaan yang dialami di seluruh dunia akibat wabak tersebut.

“Dah nak buat macam mana seluruh dunia sedang berdepan dengan masalah yang sama.

“Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa dalam hal seperti ini cuma kita minta agar kerajaan dapat memikirkan cara yang lebih berkesan dalam menangani wabak tersebut.

“Sekarang ini ramai yang sedang dalam kesusahan. Jadi kerajaan kena fikirkan sesuatu agar rakyat tidak terus hidup dalam keadaan yang tertekan,” katanya.

Bagi pembantu kedai, Azizah Husin, 26, pula, pandemik Covid-19 yang melanda negara telah menjejaskan ekonomi terutama melibatkan anggota keluarganya.

Katanya, kesukaran itu menyebabkan dia terpaksa berjimat cermat ketika ini dan hanya berbelanja untuk mendapatkan barang yang benar-benar perlu sahaja.

“Sekarang ini memang susah sebab ekonomi keluarga setiap orang terkesan akibat daripada wabak ini.

“Cuma saya harap agar Perintah Kawalan Pergerakan ini tidak terus berlarutan kerana ia boleh memberi impak kepada banyak pihak,” ujarnya.

Ruslan Ali, 23, pula berpandangan, wabak Covid-19 yang ditakuti semua orang ketika ini telah menyebabkan keadaan kehidupan masyarakat berubah dalam sekelip mata.

Tambahnya, apa yang berlaku menuntut setiap orang agar mengubah cara hidup mengikut norma baharu dengan setiap individu perlu memiliki kendiri masing-masing supaya tidak terkena jangkitan wabak tersebut.

“Semua orang terkesan dengan wabak ini lebih-lebih lagi mereka yang pernah dijangkiti.

“Jadi, saya harap agar setiap orang dapat mematuhi apa yang disarankan oleh kerajaan agar kita dapat memutuskan rantaian wabak ini dan kembali menjalani kehidupan seperti sediakala,” ujarnya.

Sementara itu seorang akauntan, L. Saravanan, 34, berkata, pandemik Covid-19 yang sedang dilalui sememangnya sesuatu yang mengejutkan.

Katanya, ia merupakan suatu situasi yang tidak pernah dilalui sebelum ini dan apabila ia berlaku semua orang menjadi kekok untuk menerima apa yang terjadi.

“Kalaulah PKP ini berlarutan, semua orang akan berdepan dengan masa depan yang muram dan saya berharap agar apa yang berlaku ini akan berubah juga satu hari nanti,” katanya.

Bagaimanapun, lain pula bagi Kaahui Yap, 22, apabila memberitahu, perniagaan bosnya menjadi lebih baik ketika PKP dilaksanakan pada masa ini.

Ini kerana katanya, ramai yang berkunjung ke premis tempat dia bekerja dan jualan alat komunikasi laris tidak seperti hari biasa.

“Sekarang ini semua orang bekerja dari rumah, jadi alat komunikasi sudah menjadi satu keperluan.

“Ramai yang singgah ke kedai kami untuk membeli atau memperbaiki alat komunikasi masing-masing untuk kemudahan tugas mereka.

“Tapi apa yang penting saya tetap berharap agar kita semua dapat kembali menjalani kehidupan seacra normal,” ujarnya. MG

Leave a Reply