‘Tak sangka hujan tak sampai sehari jadi banjir dahsyat’
BANGI, 11 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Tinggal sehelai sepinggang, itulah yang dikongsikan mangsa banjir di Kuala Lipis, Pahang.
Malah, tiada siapa yang menyangka hujan lebat tidak sampai sehari di bahagian Pantai Timur menyebabkan air sungai naik dan menyebabkan banjir teruk di daerah itu.
“Pak cik ini cerita rumahnya habis tenggelam dan menyebabkan kerosakan yang sangat dahsyat.
“Sebelum ini menurutnya, kalau hujan empat hingga lima hari pun air sungai tidak naik. Tapi, baru-baru ini hujan tak sampai sehari, air naik sangat cepat sehingga 10 kaki lebih.”
Kisah itu dikongsi oleh Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan di Facebooknya hari ini.
“Dia dan penduduk sekitar hanya sempat selamatkan diri dan kenderaan sahaja. Majoriti mereka parking di tempat yang tinggi,” cerita Ustaz Mohd Azizee.
Kisah ‘pak cik’ itu dikongsikan beliau ketika misi bantuan banjir Kuala Lipis yang dijalankan oleh Relawan Muda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Nilai.
Kapal British Lama Dipercayai Tahun 1800-an Ditemui Di Sungai Lipis
Menurut Ustaz Mohd Azizee, disebabkan polisi ketika ini agak ketat, semua bantuan yang datang akan dikumpulkan dahulu di pusat pengumpulan terpilih sebelum diagih kepada mangsa.
“Baju yang pak cik ini pakai pun hasil sumbangan orang ramai.
“Alhamdulillah Relawan Muda ISMA Nilai yang diwakili Ustaz Muhamad Afif Idris telah turun padang bersama Muafakat NGO Negeri Sembilan seperti PERKIM Nilai menyantuni mereka menyampaikan bantuan bersasar daripada FTR Exclusive dan sumbangan masyarakat awam lain.
“Sumbangan barangan telah dihantar ke Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Raub, Pusat Pengumpulan Banjir Benta, KRT Lipis, Maahad Tahfiz Darul Fikri Al-Mahmudiah, Balai Penghulu Mukim Kuala Lipis dan Pusat Kawalan Operasi Banjir/Depo Bencana Kuala Lipis,” katanya.
Remaja lemas jadi korban ketujuh banjir di Pahang