Remaja lemas jadi korban ketujuh banjir di Pahang



Sebaran :

Mangsa dikejarkan ke Hospital Jerantut dengan bot, selepas mendapat rawatan awal di Klinik Kesihatan Kuala Tembeling semalam. (Gambar Bernama)

KUANTAN: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun menjadi korban ketujuh banjir di Pahang selepas meninggal dunia di Hospital Kuala Lipis, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Mazlan Hassan berkata, Mohammad Zamarulhisyam Shaari dipercayai lemas ketika mandi bersama tiga rakannya di kawasan banjir di Jalan Kampung Sangkoh, Kuala Tembeling kira-kira 171km dari sini pada 4 petang semalam.

“Rakannya mendakwa mangsa tiba-tiba lemas menyebabkan mereka cuba membantu, namun gagal kerana mangsa berada di kawasan dalam.



“Kejadian itu disedari seorang penduduk kampung yang berenang ke arah mangsa dan menariknya ke tiang elektrik berdekatan sebelum mengambil pelampung bagi membawa mangsa ke tempat selamat,” katanya semasa dihubungi.

Beliau berkata, mangsa diberikan bantuan pernafasan dan dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Tembeling untuk rawatan awal sebelum dikejarkan ke Hospital Jerantut dengan bot.

Bagaimanapun, keadaan mangsa semakin kritikal menyebabkan dia dirujuk ke Hospital Kuala Lipis pada 9.55 malam Khamis sebelum disahkan meninggal dunia pada 3.33 petang tadi.



Mazlan menasihatkan ibu bapa sentiasa mengawasi pergerakan anak dan tidak membenarkan mereka bermain air ketika banjir yang boleh mengundang padah.

“Saya juga berharap orang ramai tidak panik dengan situasi banjir kerana stok bahan api dan bekalan makanan di Jerantut masih mencukupi,” katanya.


Sebaran :


Leave a Reply