Top Glove tawar 9,000 kerja untuk rakyat Malaysia tahun ini
KUALA LUMPUR: Top Glove Corporation Bhd menawarkan sebanyak 9,000 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan sepanjang 2021 bagi membantu menangani pengangguran di negara ini
Dalam kenyataan hari ini, syarikat tersebut berharap dapat mencapai sasaran tersebut menerusi kempen pengambilan pekerja selama setahun yang dimulakan dengan Pameran Kerjaya Top Glove Secara Maya, esok (23 Januari).
“Program itu bertujuan menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka yang baharu tamat pengajian universiti, institusi vokasional selain pekerja am di Malaysia.
“Ini membabitkan masing-masing sebanyak 4,000 jawatan untuk pekerja tempatan; 2,300 jawatan untuk lulusan baharu universiti dan vokasional teknologi; 2,000 pelatih latihan industri dan pelatih serta 700 pekerja yang berpengalaman, ” katanya.
Menurut Pengarah Urusan Top Glove, Datuk Lee Kim Meow, program tersebut diharap dapat membantu mereka yang sedang mencari kerja untuk mendapatkan kerjaya yang memberi manfaat.
“Kami juga berbangga dapat membantu serta menyokong rakyat Malaysia dengan menawarkan pekerjaan ini yang turut menjadi antara usaha penting bagi membolehkan ekonomi dan sosial negara kembali pulih daripada pandemik ini,” katanya. – BERNAMA