Moratorium: 7 sebab jangan serah pada budi bicara bank

 

Sepanjang tempoh darurat dan PKP 2.0 ini, Pergerakan Pemuda Umno berharap kerajaan dapat mengeluarkan arahan jelas supaya pelanjutan tempoh moratorium pinjaman dapat diberikan secara automatik kepada peminjam dengan kriteria tertentu seperti sebelum ini, bukan atas penilaian dan budi bicara sepihak oleh bank.

Tujuh rasional ekonomi utama kenapa ini perlu dilakukan:

1. Berbanding PKP 1.0, rakyat hakikatnya lebih susah kerana ramai hilang pekerjaan, dipotong gaji ataupun dikurangkan elaun, manakala rata-rata perniagaan terjejas teruk malah gulung tikar akibat kelembapan ekonomi lantaran pandemik Covid-19.

2. Oleh kerana keadaan ekonomi negara dijangkakan akan turut terjejas kerana pelaksanaan PKP 2.0 dan proklamasi darurat, sektor perniagaan serta industri kecil dan sederhana antara yang paling terkesan dan belum sempat pulih setelah PKP pertama, pastinya akan memberi gandaan negatif kepada ekonomi.

3. Walaupun moratorium diberikan sekurang-kurangnya enam bulan pada PKP 1.0, ternyata sektor perbankan terus mencatatkan keuntungan besar pada tahun lepas. Tidak dinafikan ada sedikit penurunan keuntungan sektor perbankan, tetapi jauh sekali mengalami kerugian.

4. Rasional ekonomi terpenting ketika krisis adalah memastikan rakyat boleh terus berbelanja agar kitaran wang terus rancak bagi memastikan permintaan dalam ekonomi berkembang, sekaligus mengelakkan penguncupan ekonomi.

Justeru, penangguhan bayaran pinjaman untuk tempoh masa tertentu boleh mengurangkan ketirisan keluar aliran kewangan daripada kitaran ekonomi hingga merencatkan pertumbuhan ekonomi negara dan menyukarkan proses pemulihan ekonomi itu sendiri.

Bank lanjut moratorium bersasar kepada peminjam terkesan PKP 2.0

5. Statistik berkenaan pendapatan sektor perbankan di Malaysia, kos serta keuntungan sebelum cukai bagi sektor ini sehingga enam bulan pertama tahun 2020 dapat dilihat di rajah 2.13 dalam laporan Bank Negara yang boleh diakses di pautan ini https://www.bnm.gov.my/fsr-2020.

6. Lanjutan tempoh moratorium secara automatik tidak akan membawa masalah kepada pihak bank.

Ini kerana dalam laporan Bank Negara terbaru berkenaan kestabilan kewangan bawah tajuk Financial Institution Soundness and Resilience, jelas menyatakan bahawa sektor perbankan di Malaysia berada dalam kedudukan modal ampuh dengan aggregate capital buffers berjumlah RM121.6 bilion.

Ini bermakna, sektor perbankan pada kedudukan yang kukuh untuk menyerap sebarang tekanan dan kerugian jangka pendek.

7. Dengan kekukuhan sektor kewangan yang mempunyai ketahanan modal yang kuat (well capitalised), kewajaran perintah moratorium secara automatik lebih utama bagi mengurangkan tekanan ekonomi dalam sektor ekonomi benar atau real economy (bukan kewangan) terutama yang melibatkan perbelajaan kepenggunaan.

Justeru, dengan tujuh rasional ekonomi di atas, Pemuda Umno mengharapkan kerajaan dapat memanfaatkan kuasa bawah Ordinan Darurat untuk membuat pengarahan jelas kepada pihak institusi kewangan bagi tujuan lanjutan moratorium secara automatik dengan kriteria tertentu dan bukannya diserahkan kepada budi bicara pihak bank semata-mata.


DR ASYRAF WAJDI DUSUKI ialah ketua Pergerakan Pemuda Umno.

Yakin akan sokongan majoriti sebagai PM: Terpulang budi bicara Agong – Anwar Ibrahim

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker