Rampasan dadah RM201 juta di Johor terbesar dalam sejarah polis narkotik


Polis Johor berjaya melakukan rampasan dadah terbesar bernilai RM201 juta menerusi serbuan di tiga stor penyimpanan di sekitar bandar raya ini pada 14 dan 15 Jan lepas.

Ketua Polisnya, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, rampasan terbesar dalam sejarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia itu hasil siasatan ke atas 15 suspek yang ditahan dalam sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah pada 12 Jan lepas.

Katanya, penahanan dilakukan menerusi serbuan ke atas dua makmal memproses dadah dan dua stor penyimpanan yang menemui dadah bernilai RM125.8 juta.

“Hasil siasatan terhadap suspek kemudian membolehkan polis menyerbu tiga lagi lokasi yang dijadikan stor penyimpanan dadah, iaitu di sebuah kilang di Taman Mount Austin dan dua rumah sewa d Taman Setia Indah.

“Dalam serbuan ini, polis menemui 3.2 tan serbuk ecstasy, 26.1kg cecair ecstasy dan 117kg serbuk Erimin 5 yang dianggarkan boleh digunakan kira-kira 11 juta penagih dadah,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Timbalannya, Khaw Kok Chin.

Beliau berkata, polis turut menyita empat kenderaan mewah, wang tunai berjumlah RM5 juta, wata wang asing berjumlah RM231,961, 30 jenis barang kemas bernilai RM124,435, tiga utas jam tangan Rolex bernilai RM250,000 serta 62 akaun bank bernilai RM1.23 juta dalam serbuan sama.

“Keseluruhan dadah yang dirampas dan sitaan berjumlah RM210.52 juta,” katanya sambil menambah dua lelaki tempatan berusia 34 dan 38 tahun masing-masing ditahan di Taman Mount Austin pada 5.20 petang 14 Jan dan di Taman Gaya, Ulu Tiram pada 2.30 petang semalam kerana dipercayai terbabit dalam sindiket itu.

Katanya, salah seorang suspek itu adalah mekanik yang bertanggungjawab mengubah suai kompartmen kenderaan bagi menyimpan dadah.

“Sindiket ini beroperasi sejak 2018 dengan menyewa premis kilang dan rumah untuk dijadikan stor penyimpanan dan pemprosesan dadah.

“Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari tangkapan untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.”

Beliau berkata, kes terbaru ini menjadikan nilai keseluruhan dadah yang dirampas sejak 12 Jan lepas berjumlah RM341.79 juta dan pihaknya menjamin akan terus melakukan siasatan susulan bagi mengesan saki-baki suspek terlibat. FMT

Restoran di Thailand sajikan masakan ganja kepada pelanggan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker