Kes remaja dirogol tahanan lokap: 2 anggota polis digantung kerja serta-merta

KUCHING: Dua anggota polis yang bertugas ketika insiden seorang remaja perempuan didakwa dirogol oleh seorang tahanan lain di lokap Balai Polis Pusat Miri, 9 Januari lalu, sudah digantung kerja serta-merta.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, berkata kedua-dua anggota terbabit digantung kerja sementara siasatan rapi dijalankan berhubung punca kejadian didakwa itu.

“Saya tidak boleh memberi maklumat lanjut sehinggalah siasatan selesai dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Namun, beliau berkata, tahanan lelaki itu sudah didakwa atas pertuduhan berkenaan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan kes akan disebut semula di Mahkamah Miri pada 9 Februari depan

Dalam laporan polis, semalam, remaja perempuan berusia 16 tahun itu mendakwa ditahan sepasukan anggota polis di tempat kerjanya di sebuah restoran makanan laut di Miri, 8 Januari lalu, kerana disyaki terbabit aktiviti perjudian haram.

Dia kemudian ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri selama satu malam bagi membantu siasatan.

Remaja itu mendakwa, dia satu-satunya wanita ditahan di lokap berkenaan dan diletakkan dalam sel berasingan dengan 12 lagi tahanan lelaki.

Bagaimanapun, dia mendakwa, sel yang menempatkan 12 tahanan lelaki itu tidak berkunci.

Remaja itu mendakwa, antara jam 4 hingga 5 pagi, seorang tahanan lelaki dikatakan memiliki kunci lokap tahanan wanita, membuka pintu sel itu dan membawanya ke tandas balai polis sebelum merogolnya.

 

Remaja perempuan dakwa dirogol dalam lokap

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker