‘Allah hanya Pinjamkan Dia Seketika Buat Saya’

“Saya reda dengan pemergiannya, saya tahu Allah lebih sayangkan dia dan hanya pinjamkan dia seketika buat saya,” kata Azdiah Ali, ibu kepada Muhammad Ehsan Zakaria yang meninggal dunia akibat lemas di Pinders Pond, Roxburgh, New Zealand.

Muhammad Ehsan, 24, yang juga anak kelima daripada lapan beradik dilaporkan lemas ketika beriadah bersama beberapa rakan jam 7.30 malam semalam waktu tempatan.

Azdiah, 56, yang menetap di Sungai Petani, Kedah, berkata, suaminya menerima panggilan berhubung kematian Muhammad Ehsan daripada pengurus ladang buah tempat anaknya bekerja kira-kira jam 6 petang semalam.

Katanya, berita itu amat mengejutkan seluruh ahli keluarga dan lebih menyedihkan kerana Muhammad Ehsan adalah anak lelaki keduanya yang meninggal dunia selepas pemergian anak sulung, Muhammad Aiman Zakaria, 32, tahun lalu akibat leukemia.

“Kami selalu berhubung menerusi WhatsApp dan kali terakhir pada Ahad lalu yang mana dia mahu meminjam wang daripada saya untuk kegunaan belanja di sana.

“Saya sempat kirimkan wang bagi membantunya yang baru bekerja sebagai pemetik buah di ladang dekat Roxburgh pada bulan lalu.

“Keadaannya baik dan sihat saja tetapi tiba-tiba, kami sekeluarga dikejutkan dengan berita ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Azdiah yang juga guru Sains Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinang Tunggal, Sungai Petani berkata, berdasarkan maklumat diterima, anaknya meninggal dunia ketika mandi di tasik bersama enam lagi rakan.

Katanya, Muhammad Ehsan tidak berenang sehingga ke seberang sebaliknya sempat berpatah balik ke tebing bersama seorang rakannya .

“Setibanya di tebing, dia sempat memegang kaki rakannya sebelum lemas.

“Arwah pandai berenang tetapi sudah sampai ajalnya dan saya bersyukur kerana polis tidak mengambil masa lama untuk menemui mayatnya.

“Mayat dibawa ke hospital untuk dibedah siasat dan masih menunggu keputusannya. Selesai urusan itu, jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan di sana kira-kira jam 1 tengah hari waktu New Zealand,” katanya.

Di sebalik ujian itu, Azdiah sekeluarga bersyukur kerana komuniti Islam Malaysia di New Zealand menawarkan bantuan untuk menguruskan jenazah dan proses pengebumian anaknya .

“Jika ke sana sekalipun, kami sekeluarga perlu menjalani kuarantin dan tidak dapat melihat jenazah buat kali terakhir.

“Jadi, kami sekeluarga serahkan urusan pengurusan jenazah kepada komuniti di sana dan berdoa semuanya dipermudahkan.

“Arwah anak yang baik, manja, peramah dan tidak berkira termasuk dengan rakannya malah dia tiada dosa dengan saya. Cuma dia pernah nyatakan hasrat mengumpul wang untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi tetapi hasrat itu tidak kesampaian, ” katanya.

Sementara itu, bapa Muhammad Ehsan, Zakaria Muhammad Isa, 60, juga reda dengan pemergian anaknya yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Universiti Auckland, New Zealand.

“Tak boleh nak kata apa, sudah ketentuan ajalnya di sana.

“Kami sekeluarga hanya mampu doakan yang terbaik untuknya malah mulai semalam sudah mengadakan bacaan tahlil.

“Saya bersyukur kerana dia meninggal dunia di tempat adanya ramai komuniti Islam dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu, tidak lupa juga kepada Kedutaan Malaysia di New Zealand,” katanya yang juga bekas pengetua Sekolah Menengah Agama (SMA) Daeratul Ma’arifil Wataniah Guar Perahu, Kepala Batas, Pulau Pinang.-HM

Bekas pelajar tajaan Mara lemas di New Zealand

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker