Naikkan subsidi upah untuk elak pengusaha hotel ‘gulung tikar’, gesa persatuan

PETALING JAYA: Persatuan Hotel Bajet menggesa kerajaan menaikkan kadar Program Subsidi Upah (PSU) bagi mengelakkan pengusaha industri itu ‘gulung tikar’.

Presiden Persatuan Hotel Bajet, Emmy Suraya Hussein, meminta kerajaan meningkatkan kadar PSU dari RM600 ke RM1,200 untuk tiga bulan pertama tahun ini.

“Di kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), kita masih boleh beroperasi. Tetapi dengan kemunculan kembali perintah kawalan pergerakan (PKP), sudah tentu industri pelancongan terhimpit kembali.

“Kalau (setakat) dua minggu, pengusaha masih boleh bertahan. Tetapi jika dilanjutkan, saya rasa ada yang akan tutup operasi,” katanya kepada FMT.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan sekatan aktiviti pelancongan dan sosial di Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

PSU disambung untuk tiga bulan pertama tahun ini dengan peruntukan perbelanjaan RM1.5 bilion yang akan memberi faedah kepada 70,000 majikan dan 900,000 pekerja.

Berikutan masih ramai pekerja yang terkesan dengan pandemik Covid-19, khususnya sektor pelancongan, kerajaan melalui Belanjawan 2021 melanjutkan pelaksanaan program itu selama tiga bulan.

Pengkhususan diberi kepada sektor pelancongan termasuk sektor peruncitan merangkumi pemberian RM600 sebulan kepada mereka yang bergaji RM4,000 dan ke bawah.

Dalam pada itu, Emmy berkata, buat masa ini pihaknya masih belum dapat memastikan peratusan pengusaha hotel yang terjejas dengan pelaksanaan PKP, tetapi menjangkakan bakal menerima rungutan berkenaannya dalam minggu ini.

“Kempen kami untuk menarik pelanggan datang ke hotel juga telah terjejas,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Hotel Malaysia juga mengakui keadaan industri pelancongan pada masa ini tergugat sekali lagi dengan pelaksanaan PKP kali kedua.

Ketua Eksekutif Yap Lip Seng menjangkakan PKP kali ini akan menyebabkan lebih ramai kehilangan pekerjaan, khususnya warga industri pelancongan.

“Industri pelancongan dan perhotelan sebelum ini telah pun terjejas teruk sejak awal tahun lepas disebabkan pandemik Covid-19. Dengan pelaksanaan PKP seperti bulan Mac lalu, industri bakal kehilangan hampir semua punca pendapatan sekali lagi.

“Sejak tahun lepas, banyak hotel telah tutup dan lebih 6% pekerja telah kehilangan pekerjaan dan selebihnya diberi cuti tanpa gaji serta pemotongan gaji,” katanya.

Yap juga menggesa kerajaan mengambil tindakan segera untuk membantu industri pelancongan sebelum ianya lumpuh.

13Shares
facebook sharing button
twitter sharing button

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker