Masa yang amat mencabar untuk peperiksaan SPM
PETALING JAYA: Ketika kerajaan pertama kali mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, Chan yang berusia 17 tahun menganggapnya sebagai cuti sekolah selama dua minggu.
Namun dua minggu itu berubah menjadi berbulan-bulan, dan Chan terpaksa belajar secara dalam talian – suatu halangan yang besar dalam persiapannya menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Sesetengah guru saya tidak pernah kisah untuk berada dalam talian untuk mengajar sementara kami menunggu mereka.
“Mereka akan memberikan kami tugasan tanpa kelas pelajaran. Ramai yang menyuruh kami menulis nota kami sendiri, dan enggan mengajar.
“Ada juga yang menghantar video Youtube kepada kami sebagai pengganti pelajaran dalam kelas,” katanya.
Sebaik saja sekolah dibuka semula pada Julai, seingat Chan, gurunya bergegas untuk menghabiskan silibus sebanyak mungkin sebelum ujian percubaan SPM.
Mereka menghabiskan satu topik baharu setiap satu jam, katanya.
Walaupun Chan berjaya menyelesaikan ujian percubaannya, dia masih menunggu untuk menduduki peperiksaan SPM, yang ditangguhkan dua kali berikutan pandemik Covid-19.
Dengan rasa kecewa, Chan bagaimanapun menganggap dirinya bertuah.
Nurul Rifayah memberitahu FMT peperiksaan percubaannya terganggu apabila sekolah di Lembah Klang diperintahkan ditutup semasa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dilaksanakan pada Okt.
“Kami masih perlu menduduki beberapa kertas ujian selepas sekolah dibuka semula pada 20 Jan.
“Kertas pertama kami dijadualkan pada 21 Jan, dan selepas itu peperiksaan percubaan kami akan berlangsung selama dua minggu lagi.
“Itu bermakna kami hanya ada satu minggu untuk mengulang kaji sebelum peperiksaan SPM sebenar,” katanya.
Cadangan “BATAL SPM”, Kumpulan Pendidikan Tidak Gembira
Semua pelajar yang menduduki peperiksaan diwajibkan kembali ke sekolah pada 20 Jan, sementara yang lain di negeri di bawah PKP perlu menunggu lebih lama.
Nurul juga mempersoalkan keputusan kerajaan untuk meneruskan semua ujian besar walaupun kes harian Covid-19 mencecah empat angka dan dengan beberapa negeri dilanda banjir.
“Soalan Sejarah Kertas 3 kami keluar semalam, dan ada di antara kami yang kecewa; kami merasakan tidak adil bagi mangsa banjir,” katanya, sambil menambah dia tahu pelajar di Pahang yang sedang bertahan untuk fokus kepada soalan atau membuat kajian kerana mereka menghadapi masalah yang lebih besar seperti membina semula rumah mereka.
“Kami penat, sudah setahun lamanya. Apa gunanya buat darurat atau PKP lagi sekali sedangkan lebih daripada 200 calon kena duduk bersama dalam dewan peperiksaan?”
Peperiksaan SPM dijadualkan bermula pada 22 Feb ini. Menteri Pendidikan Radzi Jidin sebelum ini berkata, kementeriannya mahu pelajar yang menduduki peperiksaan utama kembali ke sekolah mulai minggu depan supaya mereka lebih bermotivasi.
Namun, menurut Nurul, kesan pandemik dan kelas dalam talian selama berbulan-bulan itu hanya membuatkan calon SPM cemas kerana mereka tidak bersedia menduduki peperiksaan.
Dia menceritakan pengalamannya kehilangan ibu yang meninggal dunia tahun lalu akibat barah payudara tidak lama sebelum peperiksaan percubaan diadakan, yang membuatkannya “keletihan mental”.
Nasib calon SPM 2020: Menteri Pendidikan usah terlalu bermimpi
Seorang lagi pelajar, yang tidak mahu dinamakan, turut berkongsi perasaan yang sama dengan berkata, cabaran untuk menyesuaikan diri dengan kelas dalam talian menyebabkan banyak pelajar lebih muda berasa tertekan.
“Terdapat banyak pengalaman buruk. Kadang-kadang internet perlahan dan banyak guru bergelut untuk mengajar kami secara maya,” katanya, dengan menambah beberapa kelasnya habis selewat pukul 9 malam kerana ia dijadualkan mengikut ketersediaan guru
Dia juga berkata idea untuk kembali ke sekolah membuatkannya tidak selesa kerana takut dijangkiti dan membawa balik virus itu ke rumah datuk dan neneknya yang sudah tua.
Nurul menggesa kementerian supaya menyediakan sistem lain bagi menggantikan peperiksaan SPM 2020, seperti mengadakan peperiksaan kemasukan universiti mengikut bidang yang diminati pelajar untuk melanjutkan pendidikan tinggi mereka.
“Kualiti pendidikan dan kedudukan negara kita adalah penting, tetapi untuk meningkatkannya, anda mesti memberi tumpuan kepada kesihatan mental pelajar terlebih dahulu.
“Malah United Kingdom sudah membatalkan semua peperiksaan Sijil Umum Pendidikan Menengah (GCSE) dan A-level berikatan perintah sekatan,” katanya.
Sementara itu, Chan meminta supaya SPM dibatalkan sepenuhnya tahun ini, dengan berkata, kumpulan lain seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) tidak sepatutnya bercakap bagi pihak pelajar.
“Mereka sendiri bukan pelajar, jadi bagaimana kita boleh harapkan mereka faham akan kesusahan kita?”
Kekurangan Kertas Soalan Calon SPM Tidak Boleh Berulang Lagi – Mahdzir