Kenapa gedung serbaneka boleh berniaga, tapi kami tak boleh, soal peniaga kecil

SHAH ALAM: Senarai sektor yang dianggap penting dan dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang tidak konsisten mengecewakan ramai peniaga.

Sebagai contoh, kedai fesyen dan pakaian yang berdiri sendiri (stand alone) tidak dibenarkan dibuka kerana dianggap “tidak penting”, namun gedung serbaneka, yang menawarkan pelbagai jenis barang pengguna, dibenarkan menjual barang yang sama.

Tinjauan FMT mendapati kedai pakaian di gedung serbaneka Parkson di Setia City Mall dibuka untuk perniagaan.

“Kami buka dari pukul 10 pagi hingga 8 malam setiap hari menurut SOP. Namun, pelanggan tidak dibenarkan mencuba pakaian di kedai,” kata pengurus kanan Parkson Azhar Tajul Ariffin kepada FMT.

Merujuk kepada senarai yang tidak konsisten itu, Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkata, prosedur operasi standard (SOP) tersebut tidak adil buat peruncit lain, terutama yang menjalankan perniagaan kecil.

“Bagaimana satu pengusaha dibenarkan berniaga, tetapi yang lain harus ditutup? Pada dasarnya, mereka menjual produk yang sama, seperti pakaian,” kata naib presidennya Muhamad Baba Kutty.

Baba Kutty berkata, kerajaan seharusnya membincangkan perkara itu, termasuk apakah yang penting dan apa yang tidak, dengan pihak berkepentingan dan yang terlibat sebelum membuat apa-apa keputusan.

“Mereka (kerajaan) tidak mendapatkan nasihat yang tepat sebelum membuat SOP,” katanya, selain menambah kerajaan harus menyediakan SOP yang jelas, terperinci dan konsisten.

Beliau menyebut situasi serupa pada masa lalu yang menyaksikan pihak berkuasa, termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, membuat keputusan yang mempengaruhi peruncit tanpa berunding dengan mereka terlebih dahulu.

“Mereka akan melakukan ‘U-turn’ setelah kami protes. Ini membuang masa. Mereka harus lebih melibatkan kami dalam proses membuat keputusan,” katanya.

Baba Kutty juga meluahkan kebimbangan mengenai sekatan ke atas masa operasi perniagaan, yang kebanyakannya dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam.

Katanya, tidak semua perniagaan beroperasi dari pagi.

“Ada penjaja yang berniaga pada waktu petang. Oleh itu, mengehadkan waktu operasi adalah tidak adil bagi mereka,” tambahnya.

Beliau menggesa kerajaan supaya membenarkan perniagaan kecil dan penjaja seperti itu beroperasi sehingga tengah malam.

Sementara itu Setiausaha Agung Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Mohamed Zamri Mohammed berkata: “kami harap kerajaan dapat mengurangkan sekatan ke atas penjaja dan peniaga.”

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker