Agong, Permaisuri naik sampan tinjau keadaan banjir di Pahang
Menzahirkan keprihatinan terhadap mangsa banjir, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan meninjau keadaan banjir di Kampung Acheh, Pekan, Pahang pagi ini.
Baginda berdua yang meninjau dengan sampan, turut berkenan melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Acheh dan Balai Raya Kampung Acheh, selain meluangkan masa menyantuni mangsa banjir di PPS berkenaan.
Dalam lawatan itu, baginda berdua turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir bagi meringankan beban yang ditanggung akibat bencana banjir.
“Baginda berdua dijadualkan meneruskan lawatan ke beberapa kampung di sekitar Pekan, Pahang yang telah dilanda bencana banjir,” kata kenyataan yang dimuatnaik dalam Facebook Istana Negara, hari ini.
Turut mengiring ialah anakanda baginda, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah dan Tengku Puteri Jihan Azizah.
Keberangkatan baginda berdua mencerminkan keperibadian dan keprihatinan tinggi baginda terhadap mangsa banjir yang memerlukan bantuan.
Baginda berdua turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama mendoakan agar bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan. MG
https://mykmu.net/2018/03/29/kit-siang-guan-eng-jumpa-kamu-berdua-jumaat-ini-tepat-pukul-7-30-malam-wee-ka-siong/