Rawat kes ringan Covid-19 di rumah idea tidak baik


Seorang bekas timbalan menteri mempersoalkan keputusan kerajaan untuk merawat kes ringan dan asimtomatik Covid-19 di rumah, mempertikaikan sama ada Kementerian Kesihatan mempunyai sumber untuk berbuat demikian.

Bercakap kepada FMT, Dr Lee Boon Chye menganggap merawat dan mengkuarantin pesakit terbabit di rumah sebagai idea tidak baik, kerana tidak mungkin cukup tenaga kerja untuk memantau mereka.

Lee berkata, penggunaan kaedah ini akan menyebabkan kemungkinan lebih tinggi untuk anggota keluarga atau orang lain dalam rumah sama dengan pesakit, turut dijangkiti virus berkenaan.

“Pekerja kesihatan tidak mampu menangani sepenuhnya pengesanan kontak rapat dengan tenaga kerja sedia ada. Bagaimana pula kita mahu harapkan mereka mampu menangani tugas tambahan memantau pesakit yang telah dijangkiti di rumah?” soalnya.



Katanya, beliau menyokong keputusan itu jika untuk merawat kes ringan dan asimtomatik membabitkan pekerja pendatang asing di lokasi khas seperti asrama atau tempat kediaman mereka, kerana rata-rata golongan itu muda dan sihat.

“Mereka boleh diasingkan dengan pemantauan minimum. Mereka lazimnya muda dan sihat, melalui pemeriksaan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) untuk permit tahunan, manakala kadar komplikasi akibat Covid-19 juga terpencil.”

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba semalam berkata, pesakit Covid-19 Tahap 1 dan 2 akan menjalani rawatan dan kuarantin di rumah dengan dipantau pekerja kesihatan.

Katanya, pasukan petugas telah ditubuhkan di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis selain pada tahap negeri dan daerah untuk memantau pesakit berkenaan.



Ini susulan pendedahan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah bahawa hospital Covid-19 dan pusat rawatan risiko rendah hampir mencapai kapasiti penuh susulan lonjakan kes sehingga empat angka sejak Disember.

Lee turut meminta Kementerian Kesihatan menjelaskan kategori Covid-19 tiga menteri Kabinet yang dijangkiti virus itu, mempersoalkan sama ada mereka benar-benar perlu dimasukkan ke hospital.

“Adakah mereka asimtomatik, ringan, teruk atau kritikal, yang memerlukan kemasukan mereka ke hospital?” soalnya.

Tiga menteri yang disahkan positif Covid-19 adalah Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed. FMT



COVID-19: Vaksin untuk cegah jangkitan, bukan rawat

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker