Sirul mengaku tembak, letupkan Altantuya, kata polis

Polis berkata, Sirul Azhar Umar, yang disabitkan bersalah membunuh Altantuya Shaariibuu, menyimpan jaket dan barang kemas wanita itu di rumahnya.

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi diberitahu lelaki yang disabitkan bersalah membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu membuat pengakuan kepada seorang anggota polis yang dia menembak wanita itu dan menunjukkan lokasi mayatnya diletupkan kira-kira 15 tahun lalu.

Zulkarnain Samsudin ketika memberi keterangan dalam saman sivil difailkan keluarga Altantuya, berkata Sirul Azhar Umar julung kali mendedahkan lokasi mayat mangsa diletupkan, ketika dia diiringi ke lokasi pembunuhan di Puncak Alam pada 11 Nov 2006.

Katanya, ketika disoal siasat, Sirul juga memberitahu dia akan menunjukkan barang kemas wanita itu yang disimpan di rumahnya di Kota Damansara.

Saksi itu berkata, beberapa hari sebelum itu, Sirul mendedahkan beberapa maklumat mengenai pembunuhan itu di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di depan pegawai Koh Fei Cheow.



“Saya memberi amaran kepadanya sebelum dia menawarkan maklumat itu. Kemudian, saya membuat laporan polis,” katanya dalam pernyataan saksi yang dibacakan di mahkamah hari ini.

Zulkarnain, yang kini bertugas di unit risikan dan operasi di Bukit Aman, berkata beliau menemani Sirul ke lokasi jenayah pada 11 Nov.

Katanya, ada beberapa anggota polis dan seorang lagi suspek, Azilah Hadri di lokasi tersebut.

Zulkarnain memberitahu mahkamah, Sirul menunjukkan tempat berhampiran semak dan berkata: “Itulah tempat wanita itu dibom.”



Saksi itu berkata, ketika berada di rumahnya di Kota Damansara, Sirul membuka sebuah almari dan menunjukkan jaket hitam sebelum mengeluarkan jam tangan, sebentuk cincin emas dan sepasang anting-anting dari pakaian itu.

“Saya menyimpan barang berharga dalam jaket ini,” katanya merujuk barang kepunyaan Altantuya.

Saksi itu, yang memberi keterangan bagi keluarga itu, berkata beliau diminta membantu pasukan penyiasatan membuat tangkapan, merampas bukti dan mengambil keterangan suspek.

Zulkarnain sudah memberi keterangan dalam perbicaraan pembunuhan Altantuya, tetapi bukti yang diberikan hari ini dibantah peguam bela.



Bapa Altantuya, Setev, isterinya, Altantsetseg Sanjaa serta anak Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal, menamakan penganalisis politik Abdul Razak Baginda, kerajaan, Sirul dan Azilah sebagai defendan dalam saman itu.

Keluarga itu, yang mendakwa wujud konspirasi dalam pembunuhan Altantuya, menuntut ganti rugi RM100 juta, termasuk tuntutan tanggungan.

Sirul dan Azilah disabitkan bersalah pada 2009 oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh Altantuya, yang digambarkan sebagai jurubahasa.

Mereka berjaya membatalkan sabitan itu di Mahkamah Rayuan pada 2013, tetapi Mahkamah Persekutuan pada 2015 mengembalikan sabitan itu dan menjatuhkan hukuman mati kepada mereka.



Sirul melarikan diri ke Australia sebelum keputusan akhir diumumkan.

Razak, yang didakwa bersubahat dalam pembunuhan itu, dibebaskan pada akhir kes pendakwaan. Mahkamah memutuskan tuduhan terhadapnya tidak terbukti dan pihak kerajaan tidak mengemukakan rayuan, tindakan yang mengundang kecaman orang ramai.

Sirul, yang ditahan di sebuah pusat tahanan Australia, atau Azilah, yang sedang menjalani hukuman mati di Penjara Kajang, tidak mencabar saman itu.

Perbicaraan di depan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera bersambung.



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker