“Disuruh Buka Tudung Kalau Nak Berlakon”-Mia Sara
Pelakon Mia Sara Nasuha mengakui tersinggung apabila ada segelintir pihak yang menawarkan watak kepadanya dengan syarat dia membuka tudung.
Kata bintang remaja itu, disebabkan tawaran bersyarat sedemikian dia terpaksa menolak dengan cara baik.
Namun, pada masa sama Mia, 16, tidak menyangka masih ramai yang tidak tahu dia sudah pun bertudung sejak berumur 11 tahun lagi.
“Ya memang tawaran berlakon saya dah berkurang.
“Memandangkan saya sudah lama dalam industri mungkin ramai yang tahu yang saya sudah bertudung jadi hormatilah pendirian saya.
“Baru-baru ini ada yang tawarkan saya watak tetapi minta saya buka tudung. Dia bukan muslim tetapi rakyat Malaysia, saya rasa tersinggung pihak terbabit bertanyakan soalan demikian pada saya.
“Ia seolah-olah minta orang tak pakai baju kalau nak diambil berlakon. Banyak situasi macam itu berlaku sejak saya mula bertudung lagi. Sebab itulah saya banyak tolak tawaran dan sebab itu tak revealing macam sebelum,” katanya kepada Gempak.
Tambah Mia, dia hilang keyakinan diri apabila sering diasak tawaran sedemikian sekiranya mahu kembali aktif di persada seni.
“Bila kurang berlakon, ramai yang ingat saya sudah berhenti berlakon dan fokus belajar.
“Tetapi bermula tahun lepas saya sudah berlakon semula. Sebab itulah saya cuba mendapatkan semula kehidupan lama saya.
“Kadang-kadang boleh hilang keyakinan saya apabila ada yang bertanyakan soalan sedemikian,” tambahnya.
Mia ditemui pada majlis pelancaran De’Xandra Youth Live Launch di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Dalam majlis berkenaan, Mia dilantik sebagai duta body mist keluaran terbaharu De’Xandra. Selain Mia, empat bintang remaja popular iaitu Erissa Puteri, Nana Quemar, Kashika Selvam dan Kon Wen Wei turut dilantik sebagai duta.
“Saya gemar meneroka bidang baharu malah De’Xandra pun sudah merancang banyak projek bersama selepas ini termasuk muzik video dan sebagainya.
“Semoga kerjasama bersama De’Xandra ini dapat membuka mata ramai dan memberitahu kepada semua bahawa saya masih ada dalam industri,” katanya.
Siri wangian body mist dikeluarkan dengan lima bauan berbeza iaitu Dare Me, Ily Bae, Glamsquad, Playdate dan Chaotic Energy.
Sudah berada di pasaran sejak 8 Januari lalu, siri wangian body mist ini boleh didapati di butik, kiosk dan ejen De’Xandra berdaftar seluruh negara.
Setiap 100ml produk ini dijuav dengan harga RM25.00 – GEMPAK