Lagi Ahli Parlimen Umno akan tarik balik sokongan untuk kerajaan ‘terumbang-ambing’ Muhyiddin, kata Tajuddin

Terkini di My KMU !!!!---->


Lebih ramai Ahli Parlimen Umno dijangka menarik balik sokongan untuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin yang dilihat rapuh dan lemah, kata Pengarah Pilihan Raya parti itu, Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata, walaupun Umno tidak terlibat secara langsung dalam keputusan Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin, lebih ramai Ahli Parlimen Umno dijangka mengambil langkah sedemikian.

“Muhyiddin kena fikirkan apakah tindakan yang wajar dibuat dan tidak boleh dibiarkan kedudukan begini kerana kerajaan sekarang terumbang-ambing. Apa yang berlaku kepada Jazlan ada pencetus kepada perubahan,” kata beliau.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, desakan parti itu untuk pilihan raya umum (PRU) diadakan pada suku pertama tahun ini harus dilihat dari konteks keperluan membentuk sebuah kerajaan yang lebih stabil.

Katanya, perkembangan semasa meletakkan kerajaan Muhyiddin dalam keadaan “bahaya dan boleh runtuh pada bila-bila masa”.

“Jadi macam mana kita boleh harapkan kepada sebuah kerjaaan yang begitu lemah dan kedudukannya tergantung?,” kata Tajuddin.

Beliau berkata, Perhimpunan Agung Umno (PAU) akhir bulan ini dijangka memperakukan desakan akar umbi mahukan parti itu menamatkan kerjasama dengan PPBM yang menjadi tunjang kerajaan PN.

“Kita tidak akan bekerjasama dengan PPBM pada PRU15. Ketua bahagian sendiri buat usul tidak mahu bersama PPBM, takkan PAU tolak (keputusan itu), tak munasabah,” katanya.

Tajuddin berkata, Umno juga tidak akan mengadakan sebarang rundingan dengan PPBM mengenai isu pembahagian kerusi kerana sudah memutuskan tidak bersama parti itu dalam menghadapi PRU.

“Umno sebelum ini sudah membuat keputusan untuk bersama dengan PPBM (hanya) sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Itu keputusan parti. Kalau PRU diadakan pada Mac, maka setakat Mac (kerjasama) jika Jun maka sehingga Jun. Permintaan Umno adalah untuk buat PRU pada Mac atau April, tetapi ini bukan bermakna kita tak fikirkan Covid-19, ” katanya.

Semalam, Ahmad Jazlan yang juga Ketua Umno Kelantan menarik balik sokongannya terhadap Muhyiddin.

Keputusan beliau menghangatkan semula isu keabsahan kerajaan pimpinan Muhyiddin yang sebelum ini dipertikaikan oleh pemimpin pembangkang dan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah. FMT

Leave a Reply