Suspek kemas rumah mangsa bunuh, elak dikesan

IPOH: Suspek kes bunuh di Taman Pasir Saujana, Pasir Puteh dekat sini mengemas rumah mangsa yang dibunuhnya bagi mengelak dikesan.

Bagaimanapun kelicikan suspek terbongkar apabila laporan bedah siasat yang selesai petang semalam menunjukkan mangsa dipercayai dipukul.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata polis pada awalnya menerima laporan penemuan mayat seorang lelaki, kelmarin.

Katanya, mangsa, Wong Keng Yee, 50, yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah kedai Sushi di Ipoh ditemui mati oleh anak saudaranya di dalam bilik tingkat atas rumah berkenaan.



“Pemeriksaan oleh pegawai perubatan pada awalnya mendapati tidak ada apa-apa kesan dari segi unsur jenayah berikutan sebab rumah dalam keadaan tersusun kemas,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian tengah malam tadi.

Bagaimanapun, A Asmadi berkata hasil bedah siasat mendapati terdapat pendarahan pada otak dan kesan hentakan selain kecederaan pada bahagian perut dan bahagian belakang mangsa.

“Kes ini dibuka semula di bawah Seksyen 302 bagi mengenalpasti si pelaku jenayah ini,” katanya.

Beliau berkata, susulan itu pasukan yang datang semula ke lokasi bagi melakukan penyiasatan turut menemui beberapa unsur jenayah yang cuba disembunyikan suspek.



“Hasil penyiasatan anggota menggunakan beberapa teknik khas menemui tompokan darah di dua bilik tingkat atas tetapi dalam keadaan sudah dibersihkan.

“Selain itu, ada kain yang diletakkan di ruang udara bawah pintu dalam bilik mangsa seolah-olah untuk menghalang bau daripada keluar,” katanya.

Beliau berkata, menurut keterangan anak saudara mangsa, mereka datang dua minggu sekali ke rumah itu untuk mengemas namun terkejut apabila rumah kelihatan sudah siap disusun dengan baik.

“Pada hari kejadian, anak saudaranya cuba mencari mangsa yang tidak menyahut apabila dipanggil sebelum jiran memberitahu mangsa sudah dua hari tidak nampak keluar rumah.



“Anak saudaranya naik ke bilik tingkat atas yang berkunci dan masuk ke bilik itu melalui tandas yang berhubung dengan bilik sebelah.

“Mangsa ditemui terbaring tidak bernyawa tetapi dia tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah,” katanya.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan dan memohon mereka yang mempunyai sebarang maklumat untuk menghubungi polis.-HM

Pakej kemas rumah dan “kerja dari hotel” selamatkan hotel



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker