Rezeki Bah Tiga Sepupu..Kemain Seronok ..
Tumpat: Empat hari kampung dinaiki air sedalam 0.8 meter (m) menyebabkan tiga sepupu dari Kampung Pasir Pekan di sini, terpaksa memasang pukat mencari ikan untuk sumber makanan harian.
Ikhtiar itu dilakukan oleh Wan Mohd Faiz Wan Abdullah, 22; Wan Mohd Syakir Adli Wan Afandi, 27 dan Mohd Surizan Abdul Rahim, 38 yang mengambil risiko menaiki bot sejak tiga hari berturut-turut bagi mencari ikan, kira-kira satu kilometer dari rumahnya.
Wan Mohd Faiz berkata, mereka bertiga mencari ikan sebagai sumber makanan selain jualan kepada penduduk sekitar yang rata-ratanya terkepung.
“Banjir gelombang ketiga ini agak besar dan limpahan air daripada Sungai Kelantan memasuki beberapa kampung di sini sejak empat hari lalu.
“Kami bertiga hanya bekerja kampung dan sementara tidak dapat keluar bekerja, kami menahan pukat untuk mencari ikan sama ada bagi kegunaan sendiri dan selebihnya dijual kepada jiran tetangga,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurut Wan Mohd Faiz, memandangkan kawasan Pasir Pekan jarang dinaiki air di musim banjir, kebanyakan penduduk tidak memiliki bot sendiri, namun banjir gelombang ketiga kali ini di luar jangkaan.
Tinjauan di sekitar kawasan Pasir Pekan di pinggir Sungai Kelantan mendapati beberapa kawasan masih dinaiki air antara 0.6 hingga 0.8 m.
Tinjauan dibuat di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai melihat keadaan banjir malah ada juga penduduk sekitar yang mengambil risiko meredah air sama ada untuk urusan keperluan atau sekadar bermain air.
Pemantauan banjir turut disertai Ketua Polis Balai Wakaf Bharu, Sarjan Major Abd Halim Shafai yang melihat pematuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang dianggap agak lemah di dua lokasi tumpuan iaitu Kampung Pasir Pekan Hilir dan terowong Pasir Pekan.
Beliau berkata, sejak empat hari lalu, orang ramai memenuhi dua lokasi itu tanpa mengira masa semata-mata untuk melihat perkembangan aras air, namun menjadi kesalahan apabila tidak mematuhi SOP.
“Kami menjalankan pemantauan sejak hari mula-mula kawasan ini menerima limpahan air lagi selama 24 jam.
“Pemantauan bukan hanya untuk perkembangan paras air tapi juga keselamatan penduduk serta pematuhan SOP orang ramai yang datang melihat banjir,” katanya.-HM
Pantang maut sebelum ajal! Tujuh jam berpaut pelampung pukat
You must be logged in to post a comment.