Demi kelangsungan hidup, daripada seorang ‘Pemain Bola’ kepada ‘Penghantar Makanan’
KUALA LUMPUR: Daripada pemain AirAsia All Stars ke penghantar makanan airasia food.
Itulah perjalanan hidup Khushairi Aizad Jamalludin, 28, yang terpaksa melakukan kerja sambilan selepas menggantung but pada usia muda.
Menariknya, AirAsia terus menjadi tempat bekas pemain Piala Emas Raja-Raja Selangor itu untuk terus ‘menyambung hidup’ susulan ketidaktentuan ekonomi akibat COVID-19.
“Faktor ekonomi disebabkan pandemik COVID-19 ini membuatkan saya terpaksa bekerja keras untuk melakukan pekerjaan sambilan untuk menyara kehidupan harian.
“Selain mencari sumber pendapatan tambahan, saya tertarik melakukan kerja ini selepas Tan Sri Tony Fernandes berkongsi pengalamannya menjadi penghantar makanan perkhidmatan baharu airasia food,” katanya. Menceritakan pengalamannya selaku pemain bola sepak, Khushairi berkata dia adalah penjaring gol pertama Airasia All Stars pada musim pertama kelab itu beraksi di Liga FAM pada 2015.
“Saya pernah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik oleh Tan Sri (Tony Fernandes) yang juga pemilik kelab,” katanya.
Walaupun sudah menggantung but, Khushairi masih lagi bergiat aktif dalam sukan nombor satu itu apabila kini menjadi Presiden Kelab Bolasepak Setiawangsa Rangers.
“Pada awal tahun lalu, saya merancang membentangkan kepada AirAsia mengenai Program Pembangunan Bolasepak Akar Umbi yang membabitkan kategori umur dari 6 tahun hingga 17 tahun.
“Namun, disebabkan pandemik Covid-19 ini semua perancangan terhenti seketika tetapi kami terus menyertai saingan Liga AirAsia KL Junior 2021.
“Impian saya satu hari nanti, saya ingin membawa pemain menimba pengalaman berlatih di Akademi Bolasepak Queens Park Rangers kerana pasukan ini menjadi inspirasi penubuhan Kelab Bolasepak Setiawangsa Rangers”, kata Khushairi yang kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dalam bidang Pengurusan Sukan di Universiti Kuala Lumpur.
You must be logged in to post a comment.