[VIDEO] Degil….Padah Tak Dengar Cakap
Jerantut: Sekumpulan 15 penduduk bergadai nyawa menyelamatkan sebuah pacuan empat roda yang dihanyutkan oleh air deras di Kuala Krau, semalam.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, pemandu kenderaan datang dari arah Temerloh ke Jerantut itu dikatakan berdegil melalui laluan berkenaan walaupun dihalang penduduk.
Penduduk, Shahfiez Suhaimi, 36, berkata, laluan berdekatan tapak Pekan Sehari, Kuala Krau dinaiki air dan ditutup untuk semua kenderaan.
“Namun pemandu itu yakin air masih tidak dalam. Pemandu dan penumpang seramai tiga orang berdegil meneruskan perjalanan, walaupun kami yang berada di tepi jalan cuba menghalang mereka.
“Semasa pacuan empat roda itu berhenti, kami memberitahu mereka kenderaan tidak lepas kerana air dalam, tetapi pemandunya degil dan kata nak cuba juga.
“Sampai di tengah laluan, air berada pada paras separuh kenderaan menyebabkan enjin mati dan pacuan empat roda itu mula hanyut dibawa arus,” katanya.
Menurutnya, melihat keadaan itu, dia bersama rakan dan beberapa penduduk berada dalam bot berusaha membantu mangsa.
Shahfiez berkata, mereka berjaya mengejar dan menyelamatkan penumpang serta mengawal kenderaan dari terus hanyut.
“Kami mengikat kenderaan itu dan menariknya menggunakan pacuan empat roda lain,” katanya.
Menurutnya, kejadian itu berlaku begitu pantas dan mereka mengambil masa kira-kira setengah jam untuk menyelamatkan kenderaan itu-HM
[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=-v7e2FhH_Cw[/embedyt]
Pacuan empat roda hilang kawalan rempuh 10 kenderaan di Ipoh