Jika Umno mahu kerjasama dengan DAP, ia sudah dibuat di Perak, kata Shahril Hamdan


Dakwaan mengatakan Umno akan bekerjasama dengan DAP tidak mungkin berlaku dan sekiranya ia mahu dilakukan, parti itu berpeluang merealisasikannya ketika krisis pertukaran menteri besar di Perak, sebelum ini.

Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan berkata, pelbagai kenyataan dan ketetapan sudah dibuat oleh parti itu dalam isu kerjasama dengan DAP, sama ada dalam majlis terbuka atau tertutup.

Malah katanya, isu kerjasama dengan DAP juga tidak pernah diputuskan dalam mesyuarat parti atau perhimpunan agung Umno.

“Sehingga hari ini Majlis Kerja Tertinggi meneruskan kelangsungan keputusan dasar parti yang diluluskan dalam Perhimpunan Agung Umno 2019, yakni tiada kerjasama dengan Anwar Ibrahim dan DAP.

“Selagi dasar itu tidak diubah, seluruh saf kepimpinan masih berpegang kepada keputusan tersebut.

“Jika Umno mahu menjalin kerjasama dengan DAP, ia mempunyai peluang sewaktu pertukaran menteri besar di Perak. Perkara itu tidak berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini, merujuk kepada penyingkiran bekas menteri besar Ahmad Faizal Azumu bulan lepas.

Pada Dis, Faizal kalah undi kepercayaan di Dewan Undangan Negeri Perak, sekali gus membawa kepada pelantikan pengerusi Umno negeri Saarani Mohamad sebagai menteri besar baharu.

Tanpa menamakan mana-mana pemimpin, Shahril dipercayai berkata demikian bagi menjawab kenyataan bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa sebelum ini, yang mendakwa menerima laporan wujud gerakan daripada Umno untuk bekerjasama dengan DAP, termasuk membentuk kerajaan baharu.

Annuar berkata, disebabkan gerakan itulah maka beliau nampak berbeza pendapat dengan pucuk pimpinan Umno dan bertegas mempertahankan keputusan parti sebelum ini, iaitu tiada sebarang kerjasama dengan DAP.

Shahril berkata, dakwaan terdapatnya percubaan demi percubaan untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga tidak tepat.

Ini memandangkan sepanjang undian Belanjawan 2021 dilakukan, setiap ahli Parlimen Umno mendukung dan meluluskannya di setiap peringkat.

“Dukungan dan undian tersebut tetap dizahirkan meskipun dalam hal tertentu, jelas terdapat ketidakpuasan hati dari pihak Umno berhubung pelbagai isu, baik dari segi pertalian politik antara Umno dan PPBM mahupun dalam soal dasar kerajaan.

“Jelas sekali selama ini Umno mendukung kerajaan Perikatan Nasional demi kemaslahatan rakyat dan negara yang masih dilanda ancaman wabak Covid-19,” katanya.

Tambah Shahril, dakwaan kononnya kepimpinan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi “flip flop” dalam keputusan bersama Muafakat Nasional juga adalah tidak tepat.

Sebaliknya, kepimpinan Umno tetap konsisten mahu memperkasa MN dan mengukuhkan pertalian bersama PAS.

“Pendirian ini tegas, jelas dan konsisten sepanjang masa,” katanya. FMT

Shahril Bidas MB Selangor, Exco Tidak Matang… Keterlaluan Dalam Berpolitik

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker