Ketua Menteri P. Pinang beli kereta mewah ketika pandemik adalah keterlaluan.


Seorang ahli ekonomi menyifatkan pembelian kereta mewah baharu bernilai RM458,000 untuk ketua menteri oleh kerajaan Pulau Pinang sebagai keterlaluan dan tidak perlu, ketika negara dihimpit wabak Covid-19.

Ramon Navaratnam terkejut apabila mendapat tahu Pulau Pinang, yang berbangga dengan perbelanjaan fiskal secara berhemah, berbelanja mewah sebegitu.

Semalam, kerajaan negeri mengumumkan ia membeli sebuah kereta Mercedes-Benz S560e, menggantikan kereta rasmi lama ketua menteri, sebuah Mercedes S300L yang dibeli pada 2013.

Navaratnam berkata sekarang bukan masanya untuk membeli kereta baharu kerana “ia menunjukkan sikap tidak peduli terhadap kebajikan rakyat dan golongan miskin yang sedang melalui masa sukar.”



“Ada yang tidak cukup makan dan hospital juga kekurangan katil ketika wabak ini.

“Saya terkejut apabila Pulau Pinang, sebuah negeri yang progresif dan canggih, mengamalkan pembaziran dan fiskal yang tidak berdisiplin.

“Ini petunjuk buruk tentang kualiti pemikiran mereka dan bertentangan dengan dasar baik mereka. Mereka harus sedar pengundi sentiasa perhati,” katanya.

Navaratnam, seorang bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan, berkata kerajaan persekutuan harus mengeluarkan garis panduan jenis kenderaan yang dibenarkan untuk menteri besar dan ketua menteri.



“Semestinya seorang ketua menteri memerlukan kereta yang bagus, tetapi bukan kereta mewah. Beli kereta tempatan, tetapkan garis panduan.

“Kerajaan persekutuan harus menetapkan had berkenaan pembelian kereta mewah,” kata Navaratnam. FMT

Dakwaan polis tak jaga solat keterlaluan – IGP



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker