Banjir di Terengganu makin buruk, lebih 10,000 dipindahkan

Sebaran :

Sebuah keluarga meredah banjir untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka dilanda banjir di Chukai. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Situasi banjir di pantai timur terutama di Kemaman, Terengganu semakin buruk malam ini apabila air mula memenuhi bandar Chukai dengan lebih 10,000 orang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan di negeri itu.

Kebanyakan jalan di bandar itu juga mula ditutup kepada kenderaan ringan sejak 7 malam tadi dan peniaga mula memindahkan barang berikutan bimbang berlaku kenaikan air secara mendadak lewat malam ini jika hujan lebat.

Selain Terengganu, negeri jirannya Kelantan juga mengalami situasi sama apabila jumlah mereka yang dipindahkan kini hampir mencecah 6,000 orang dengan bandar Kota Bharu dijangka dilanda banjir mulai tengah malam ini dan air Sungai Golok dilapor semakin meningkat.

Banjir di Kelantan hari ini turut mengorbankan seorang pemuda berusia 20 tahun yang terjatuh dari perahu ketika membawa mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara di Kampung Manjor, Kuala Krai.

Mayat Mohammad Hakimin Rahim ditemukan ahli keluarganya pada 8.30 pagi di tempat mangsa dilaporkan terjatuh dari perahu dan mangsa juga dikatakan kepenatan serta mengalami kekejangan berikutan cuaca sejuk semasa membantu penduduk kampung sejak awal pagi hingga malam.

Di Terengganu, laporan terkini bencana banjir negeri Terengganu hingga 8 malam ini merekodkan seramai 11,777 orang daripada 2,947 keluarga dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan dengan Kemaman mencatat bilangan paling ramai iaitu 10,103 orang melibatkan 2,469 keluarga.

Banjir di Terengganu kini melibatkan empat daerah iaitu Kemaman, Dungun (1,334 mangsa), Hulu Terengganu (228 mangsa), dan Besut (112 mangsa).

Di Kelantan, lima jajahan di negeri itu kini terjejas banjir iaitu Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas dan Gua Musang.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 5,896 mangsa daripada 1,520 keluarga ditempatkan di 74 pusat pemindahan dengan Kuala Krai merupakan jajahan paling terjejas dengan 2,611 orang dipindahkan, Jeli (1,060 orang), Tanah Merah (488), Pasir Mas (896) dan Gua Musang (841).

Situasi berbeza di Pahang, walaupun lebih 20,000 masih berada di pusat-pusat pemindahan, keadaan banjir di sembilan daerah yang terjejas teruk sejak Ahad lepas, kini beransur pulih dan malam ini jumlah mangsa di pusat-pusat pemindahan berkurangan kepada 22,292 orang daripada 6,068 keluarga berbanding lebih 23,000 orang petang tadi.

Jalan dari Kuantan menghala ke Kuala Lumpur masih terputus di LPT1 dan di beberapa lokasi di jalan lama.

Negeri-negeri lain yang turut terjejas banjir iaitu Johor dan Perak juga terus bertambah baik dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan semakin berkurangan, manakala keadaan di Beaufort, Sabah tidak berubah dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan kekal 35 orang.


Sebaran :

Leave a Reply