Budak lima tahun maut disepak, ditendang nenek saudara

RAWANG: Disepak dan ditendang sehingga pecah usus. Demikian nasib malang menimpa seorang budak perempuan berusia lima tahun yang maut didera nenek saudaranya dalam kejadian pada 30 Disember lalu.

Mangsa tahun dipercayai diperlakukan sedemikian oleh suspek yang juga warga Indonesia berusia 55 tahun, sejak tinggal bersama pada 2017.

Memperincikan kejadian, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata mangsa ditemui tidak sedarkan diri oleh ibu saudaranya di rumah mereka di Kampung Sungai Chinchin, jam 7 malam, sebelum menghubungi bantuan ambulans.

Beliau berkata, pemeriksaan perubatan kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Katanya, bedah siasat yang dijalankan hari berikutnya mendapati mangsa maut akibat kecederaan di bahagian usus yang pecah dipercayai kerana didera.

“Keluarga mangsa pada mulanya mendakwa mangsa mengalami sakit perut dan muntah sebelum ditemui tidak sedarkan diri di ruang tamu, selain enggan membenarkan bedah siasat.

“Berdasarkan keputusan bedah siasat itu, polis menahan enam individu masing-masing tiga lelaki dan tiga wanita berusia 25 hingga 55 tahun, termasuk suspek utama, yang juga nenek saudara mangsa untuk siasatan lanjut.

“Pemeriksaan lanjut juga menemui kesan parut lama tubuh mangsa dicucuh dengan ubat nyamuk yang dibakar,” katanya dalam sidang media di Balai Polis Rawang, di sini, hari ini.

Arifai berkata, susulan penemuan unsur jenayah pada mayat mangsa, mengklasifikasikan semula kes terbabit daripada mati mengejut kepada kes bunuh.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut tidak menolak kemungkinan suspek mendera mangsa yang tidak mampu berjalan dan berdiri kerana sering buang air besar tanpa sedar.

“Mangsa juga mempunyai rekod penyakit lebihan cecair dalam otak, selain pernah menjalani pembedahan namun mampu bertutur dengan baik.

“Bapa mangsa yang tinggal bersama dipercayai tidak menyedari kejadian yang menimpa anaknya kerana bekerja sebagai pemandu lori dan sering tiada di rumah,” katanya.

Katanya, semua suspek ditahan 1 Januari lalu kini direman selama enam hari sehingga 7 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker