Kita dah bayar! Tajuddin nafi Prasarana tak bayar kontraktor projek LRT3
Pengerusi Prasarana Tajuddin Abdul Rahman menafikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu enggan membayar kontraktor terlibat dalam projek LRT3.
Katanya, sehingga Oktober tahun lalu Prasarana sudah membayar RM3.468 bilion kepada kontraktor utama MRCB-Gorge Kent daripada keseluruhan RM11 bilion jumlah projek.
“Kita dah bayar, bukan amaun kecil. Setiap kali mereka buat tuntutan kita bayar, kita tidak banyak kira.
“Yang masih tertangguh kemudian, bayaran kita hingga 2 Oktober, mana ada tangguh sampai 6 hingga 7 bulan, atau setahun,” katanya pada sidang media bagi menjelaskan perkara itu.
Beliau berkata, sebagai kontraktor utama, MRCB-George Kent sepatutnya bertanggungjawab membuat bayaran kepada sub kontraktor dan firma bawah mereka.
“Mereka kontraktor besar, yang menjalankan projek RM11 bilion. Mereka mesti ada modal untuk bayar kerja dijalankan sub kontraktor. Ini dia tiada duit dia suruh kontraktor buat rungutan ke sana sini,” katanya.
Tajuddin turut mendedahkan, MRCB-George Kent didakwa cuba menekan sub kontraktor apabila ada antara mereka masih belum menandatangani kontrak selain nilai projek dikecilkan.
Menurutnya, kontraktor dilantik itu sebelum ini sudah menandatangani perjanjian dengan Prasarana namun mereka perlu menandatangani kontrak baru dengan MRCB-George Kent selepas syarikat berkenaan dilantik sebagai kontraktor utama.
“Saya terima banyak rungutan kerja dah buat dekat setahun tapi tak tandatangan kontrak lagi. Sebahagian mereka kontraktor Bumiputera.
“Saya sebagai pengerusi takkan nak duduk diam dan benarkan benda itu berlaku. Nilai kontrak mereka juga cuba nak diubah, nak dikecilkan supaya mereka siapkan kerja dengan kos rendah.
“Ini tidak adil kepada sub kontraktor, takkan saya sebagai pengerusi nak duduk diam, saya mesti masuk campur,”katanya.
Tajuddin menjelaskan, Prasarana juga tidak mempunyai hasil yang besar dan hanya bergantung kepada bon serta penerbitan sukuk.
Katanya, Prasarana juga harus menjaga aliran tunai daripada defisit yang akan merisikokan mereka.
Sebelum ini media melaporkan, pengurusan tertinggi 17 kontraktor dan firma perunding yang terlibat dalam projek LRT3 meminta bantuan kerajaan kerana mereka berhutang lebih RM700 juta untuk kerja dilakukan sejak Julai dan jumlah itu dijangka mencecah RM1 bilion bulan ini.
Mereka menghantar surat kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, mendakwa Prasarana belum membayar untuk kerja LRT3 dari Julai hingga Disember. FMT
Prasarana didakwa tahan bayaran RM700 juta, firma LRT3 minta k’jaan bantu
You must be logged in to post a comment.