Prasarana didakwa tahan bayaran RM700 juta, firma LRT3 minta k’jaan bantu

Pengurusan tertinggi 17 kontraktor dan firma perunding yang terlibat dalam projek LRT3 meminta bantuan kerajaan kerana mereka berhutang lebih RM700 juta untuk kerja yang dilakukan sejak Julai dan jumlah ini dijangka mencecah RM1 bilion bulan ini.

Menurut surat bersama yang dihantar syarikat-syarikat itu kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong hari ini, mereka berkata Prasarana belum membayar untuk kerja-kerja LRT3 dari Julai hingga Disember dan kini menghadapi kesulitan untuk meneruskan kerja pembinaan rel tersebut.

“Datuk Seri, demi untuk menentukan kelangsungan projek ini pada tahap kemajuan yang ditetapkan oleh Prasarana, pihak kami telah berusaha sebaik mungkin untuk membiayai kerja-kerja tersebut dengan menggunakan dana dalaman kami.

“Bagaimanapun pihak kami tidak lagi mampu memandangkan jumlah terkumpul ini agak besar. Keadaan ini benar-benar memberi tekanan besar kepada tahap kewangan kami dan telah menjejaskan tahap kemajuan projek ini,” menurut surat-surat yang dilihat oleh Malaysiakini.

Difahamkan, surat yang sama juga akan dikirimkan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada hari Isnin.

Sumber yang mahir mengenai perkara itu mendakwa Pengerusi Prasarana Tajuddin Abdul Rahman dikatakan ‘memberi tekanan’ kerana dia mahu terlibat dalam keputusan pelantikan subkontraktor untuk projek LRT3.

Pemimpin Umno itu dilantik sebagai pengerusi Prasarana pada bulan Mei dan dua bulan kemudian, pembayaran kepada kontraktor atas kerja mereka untuk projek LRT3 telah berhenti masuk.

Salah satu sumber memberitahu Malaysiakini kelewatan itu berlaku walaupun Prasarana mempunyai dana untuk membuat pembayaran kepada syarikat MRCB-George Kent sebagai kontraktor utama projek tersebut.

“Kemajuan projek oleh 17 syarikat itu telah mencapai 43.4 peratus pada akhir November.

“Apa alasan menahan pembayaran kepada MRCB-George Kent ketika syarikat itu telah bekerja keras untuk mencapai kemajuan dan melangkaui sasaran,” soal sumber itu.

Kemajuan 43.4 peratus pada laluan LRT3 sepanjang 37.6km tu mendahului sasaran 40 peratus pada akhir tahun.

Sumber itu berkata sejumlah RM280 juta yang diterima pada 3 Oktober hanya untuk kerja yang dilakukan antara Februari hingga Jun.

“Pembayaran terakhir yang kami terima pada 3 Oktober untuk kerja yang dilakukan dari Februari hingga Jun 2020.

“Keseluruhannya adalah RM280 juta,” kata sumber itu lagi.

Prasarana, unit milik penuh Kementerian Kewangan, adalah pemilik projek LRT3. Sementara itu, MRCB-George Kent, adalah usaha sama 50-50 antara Malaysian Resources Corp Bhd dan George Kent (M) Bhd.

MRCB sebagai kontraktor siap guna (turnkey) sejak itu telah melakukan subkontrak bahagian projek dalam pelbagai pakej kepada 16 syarikat lain yang menandatangani surat tersebut.

Menurut surat-surat tersebut, pembayaran yang ditahan ini menyebabkan rangkaian pembayaran tertunda tidak hanya kepada pembekal dan pihak berkepentingan lainnya, tetapi juga komitmen dengan institusi kewangan.

Situasi ini juga diburukkan lagi oleh kesan keseluruhan wabak Covid-19 kepada perniagaan tempatan dengan keseluruhan operasi melibatkan lebih 10,000 pekerja, kata mereka.

Dokumen yang dilihat oleh Malaysiakini menyatakan pembayaran daripada Prasarana kepada MRCB-George Kent dijelaskan pada hari kelapan setiap bulan untuk pelepasan segera kepada subkontraktor.

Malaysiakini telah menghubungi dan sedang menunggu maklum balas daripada Tajuddin mengenai isu ini.

Prasarana sebelum ini menolak untuk mengulas laporan The Edge yang menyoal kepemimpinan dan hala tuju syarikat itu sejak perlantikan Tajuddin sebagai pengerusinya.

“Kami tiada komen mengenai perkara itu buat masa ini,” kata pegawai Prasarana melalui pesanan teks ringkas.

Awal bulan ini, The Malaysian Reserve melaporkan Prasarana telah menuntut lebih banyak suara dalam pelantikan subkontraktor, tetapi permintaan mereka ditolak oleh MRCB-George Kent, yang mengakibatkan pembayaran itu ditangguhkan.

Pada masa itu, harian kewangan tersebut memetik sumber, mendakwa individu berjawatan tinggi dalam Prasarana telah meminta MRCB-George Kent untuk memberikan pakej kerja bernilai sekitar RM300 juta kepada syarikat tertentu berkaitan dengan individu tersebut.

Projek LRT3 dimulakan pada bulan Ogos 2015 dengan peruntukan awal RM10 bilion untuk berkhidmat kepada kira-kira dua juta orang di sepanjang laluan Bandar Utama-Johan Setia, sebelum kosnya meningkat menjadi RM31.65 bilion.

Ia antara beberapa projek infrastruktur mega yang dikaji semula oleh kerajaan pusat selepas Pakatan Harapan berkuasa pada Mei 2018.

Pada bulan Julai 2018, projek LRT3 disambung semula dengan jumlah kos terakhir yang dilaporkan berkurang 47 peratus kepada RM16.63 bilion, menggantikan model rakan penyampaian projek dengan model kontraktor siap guna.

Tarikh siap landasan rel sejauh 37.6km juga dilanjutkan dari tahun 2020 hingga 2024. Malaysiakini

LRT3: Najib sangkal dakwaan Guan Eng

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker