Bekas Suami Vida Gagal Hak Hadanah Bertemu Anak.. Tunggu Cik B, Kacak Bersedia Dulu
Kota Bharu: “Alhamdulillah, saya lega kes sudah diputuskan dan terpulang kepada Cik B dan Kacak untuk menghubungi ayah mereka apabila sudah bersedia,” kata Datuk Seri Dr Hasmiza Othman.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini menolak tuntutan hadanah yang dibuat bekas suami usahawan kosmetik itu, Mohd Amin Yasin, 43, terhadap dua anaknya Edlynn Zamilleen, 16, atau lebih dikenali Cik B dan Muhammad Eric Zaquan, 14, (Kacak).
Keputusan dibuat Hakim Syarie Datuk Abu Bakar Abdullah Kutty selepas mendengar hujah kedua-dua pihak.
Hasmiza atau Datuk Seri Vida, 50, berkata, beliau merasakan masanya tidak sesuai ketika ini untuk dua anaknya bertemu Mohd Amin.
“Ia juga atas kehendak Cik B dan Kacak sendiri. Bagaimanapun, saya tidak pernah menghalang mereka untuk berhubung kerana tidak mahu putuskan silaturahim, namun untuk mereka berjumpa secara ‘in person’, biarlah dulu,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah di sini.
Beliau juga menyifatkan keputusan mahkamah bertepatan dan tidak mengganggu emosi kedua-dua anaknya itu, selain akan mematuhi arahan yang membenarkan Cik B dan Kacak menghubungi bapa mereka dalam usaha menjernihkan semula hubungan.
Datuk Seri Vida(tengah) bergambar bersama Cik B (kiri) dan Kacak selepas prosiding mahkamah di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu hari ini
“Apabila mereka (Cik B dan Kacak) dah sedia, bolehlah telefon. Jangan kata mereka anak derhaka pula kerana orang luar tidak tahu apa berlaku, hanya kami yang menanggungnya,” katanya.
Keputusan itu juga diterima baik oleh Cik B apabila bersetuju untuk berhubung semula dengan bapanya suatu hari nanti, serta menafikan ibunya menghalang mereka daripada berhubung.
“Saya akan hubungi ayah kalau dah ‘ready’, cuma tak tahu akan ambil masa atau tidak. Semoga Allah permudahkan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Amin berkata, dia berlapang dada menerima keputusan mahkamah dan akan menunggu dua anaknya kembali ke pangkuannya.
Peniaga kedai makan itu juga memberitahu akan membuat rayuan terhadap kes itu selain berhasrat menuntut harta sepencarian dengan bekas isterinya ketika perceraian lalu.
“Selain itu saya juga akan menuntut harta dua anak yang meninggal dunia termasuk pampasan insurans mereka kerana tidak berpeluang untuk menatap wajah mereka buat kali terakhir,” katanya sambil memberitahu baharu ada keyakinan untuk membuat tuntutan berhubung perkara berkenaan.
Mohd Amin memfailkan tuntutan hadanah (hak lawatan, bermesra dan bermalam) pada 3 November lalu. Dia berkahwin dengan Datuk Seri Vida pada 2000 dan bercerai pada 2008.
Mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Eddie Zuhdie, Muhammad Edrie Zikrie, Edlynn dan Muhammad Eric Zaquan, namun Muhammad Eddie Zuhdie dan Muhammad Edrie Zikrie meninggal dunia dalam kebakaran di rumah Datuk Seri Vida di Meru Hill, Ipoh tiga hari sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 2013-HM