Parlimen Johor Bahru, DUN Stulang dan Larkin Kekal Milik BN – Tok Uban

 

UMNO Bahagian Johor Bahru mahu calon Barisan Nasional (BN) diletakkan di Parlimennya dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya iaitu Larkin dan Stulang.

Keputusan itu dicapai menerusi persidangan perwakilan empat sayap parti itu bagi memastikan kesiapsagaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Ini kerana, BN kawasan Johor Bahru itu yakin masih mampu menawarkan calon kepada para pengundi serta memastikan kesilapan 22 bulan tidak berulang lagi.

“Bermula dengan Perwakilan-perwakilan Pergerakan Pemuda dan Puteri pada Jumaat malam dan Perwakilan Pergerakan Wanita serta Perwakilan UMNO Bahagian pada hari Sabtu.

“UMNO Bahagian Johor Bahru dengan jayanya menunaikan suatu kehendak penting perlembagaan parti agar diadakan persidangan tahunan badan induk berserta juga ketiga-tiga sayapnya.

“Keputusan ini bukan semata-mata kerana BN sentiasa menyertai setiap pilihanraya dan pilihanraya kecil bagi kawasan parlimen Johor Bahru dan kawasan DUN dibawahnya.

“Sebaliknya menegaskan, BNJB masih mampu untuk menawarkan pilihan bagi pertimbangan dan keputusan pengundi-pengundi Johor Bahru.

“Matlamat pilihanraya adalah untuk membentuk kerajaan pilihan rakyat.

“Bagi memenuhi matlamat ini, BN mempunyai pengalaman dan pencapaian sebagai sebuah pemerintah yang lagi baik berbanding dengan Pakatan Harapan (PH) sepanjang 22 bulan selepas PRU-14.”

Demikian kata bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menerusi hantaran dalam Facebooknya hari ini.

Kerusi Parlimen Johor Bahru kini dipegang oleh wakil rakyat daripada PKR, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir selepas menewaskan calon daripada BN, Shahrir dengan majoriti 19,782 undi.

Sementara kerusi DUN Larkin dan Stulang turut dipegang PKR, Mohd Izhar Ahmad dan Andrew Chen Kah Eng.

Bagaimanapun, selepas PH mengambil alih Kerjaaan Persekutuan dan Negeri (Johor), politik negara berada dalam keadaan tidak stabil.

Di Johor sahaja sudah menyaksikan tiga kali pertukaran Menteri Besar dibuat.

Situasi tersebut dimulakan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Osman Sapian meletakkan jawatan dan digantikan dengan ADUN Bukit Kepong, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

Namun apabila berlaku peralihan kuasa di peringkat Persekutuan, daripada PH kepada Perikatan Nasional (PN), Johor menyaksikan sekali lagi pertukaran Menteri Besar dan kini dipegang oleh ADUN Benut, Datuk Hasni Mohammad daripada UMNO.

“Johor telah menyaksikan dua Menteri Besar Pakatan Harapan dalam tempuh itu. Begitu juga di peringkat pusat.

“Ini sahaja adalah bukti kecelaruan politik negeri dan negara semenjak PRU-14.

“Kecelaruan politik akibat perbalahan dalaman PH setelah menerima mandat rakyat pada PRU-14 yang lalu mengecewakan harapan tinggi rakyat bahawa perubahan politik mampu membawa keadaan yang lebih baik bagi rakyat dan negara.

“Sebaliknya kuasa tanpa kebijaksanaan dan pengalaman tidak membawa kepada munafaat bagi rakyat Johor dan Malaysia.

“Sepanjang 22 bulan itu, rakyat juga yang terpaksa menanggung kegagalan sebuah pemerintahan politik yang lemah dan tidak berkemampuan menunaikan janji-janji manis yang terkandung dalam manifesto pilihan rayanya,” ujar Shahrir. – SM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker