Iklan lucah menyumbang kebejatan akhlak, penganiayaan seksual


SEPANJANG Lebuh raya Utara Selatan terpampang deretan papan iklan yang mempromosikan pelbagai produk. Sama ada kita sedar atau tidak lambakan iklan sebegini yang kita hadap seharian di tempat awam seperti di sepanjang lebuh raya. Yang peliknya, bukan setakat produk kesihatan seksual sahaja menggunakan ayat ghairah, nak jual sabun pun pakai ayat ghairah. Tidak sensitifkah masyarakat dengan keadaan negara kita?

Pandemik ini telah menunjukkan kepada kita, betapa jauhnya masyarakat tenggelam dalam salah laku seksual. Statistik polis setakat 30 Jun 2020, merekodkan sebanyak 1,721 kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak. Hampir menyamai statistik setahun pada 2018. Jumlah ini termasuk kesalahan rogol, luar tabii, cabul, dan kesalahan-kesalahan lain di bawah akta kesalahan seksual. Statistik ini merangkumi kanak-kanak sebagai pelaku mahupun sebagai mangsa.

Pihak berkuasa sedang berusaha merangka pelbagai inisiatif untuk menangani jenayah seksual membabitkan kanak-kanak, termasuk dari aspek pencegahan, perundangan dan intervensi, sistem sokongan dan juga kajian serta penyelidikan lanjut untuk membantu memantapkan sistem sedia ada.

Namun, ianya tidak cukup untuk melindungi kanak-kanak dari terus menjadi mangsa. Mereka bukan sahaja trauma fizikal dan mental bahkan berpotensi menjadi mangsa bunuh pelaku seksual seperti yang terjadi kepada Muhammad Adam yang mati dicampak datuk tiri pada 29 November lalu.

Menurut Micheal Sheath, salah seorang pekerja sosial utama dengan The Lucy Faithfull Foundation, sebuah pusat pemulihan yang mengurus pesalah pedofilia di United Kingdom, data terkini menunjukkan majoriti pesalah pedofilia bukan lagi dari kalangan lelaki-lelaki yang dianiaya secara seksual semasa kanak-kanak. Kini terdapat trend mereka yang menyalahguna imej kanak-kanak merupakan mereka yang terdedah kepada pornografi sejak umur yang sangat kecil. Jauh sebelum mencapai usia kematangan seksual.

Pendedahan awal dengan banyak melalui jaringan internet membawa kepada ketagihan yang semakin lama semakin ekstrem sehingga membawa kepada hilangnya sifat empati dimana wanita termasuk kanak-kanak hanya dilihat sebagai objek pemuas nafsu. Adakah ini yang kita mahu pilih sebagai masa depan generasi Malaysia? Kerana iklan berbaur kelucahan bukan perkara lain tetapi merupakan pornografi ringan. Dan ia terbentang di halaman awam yang turut menjadi tatapan kanak-kanak.

Bagi mengelakkan masa depan sebegini kita sebagai ibu bapa dan ahli masyarakat perlu cakna dan menolak segala bentuk dorongan berbaur lucah dari menjadi santapan mata anak-anak kita walau di mana jua. Cukuplah kita menghadapi kesusahan menghalangnya di dalam internet. Setiap anak bukan sekadar memerlukan ibu bapa yang baik, dia juga memerlukan persekitaran yang baik untuk membesar dengan sihat. Dan setiap kita sebagai orang dewasa bertanggungjawab menyediakan semua ini untuk setiap anak dalam masyarakat.

Antara langkah-langkah yang boleh diambil adalah pihak berkuasa tempatan atau pusat seperti Dewan Bahasa & Pustaka perlu lebih bertanggungjawab dalam memberi kelulusan kepada iklan dengan menapis bukan sekadar bait perkataan yang tertulis tetapi juga jenis perniagaan yang ingin di iklan kan. Pihak PBT juga perlu lebih cakna tentang iklan-iklan haram di atas tanah persendirian namun mempamer ke halaman awam. Keculasan dalam penguatkuasaan adalah lubang yang sering diambil kesempatan. Kita tidak mahu kisah seperti iklan pelacuran online “Sugarbook” berulang lagi.

Seterusnya, akta makanan kesihatan juga perlu diperketatkan. Kebanyakan produk sekadar menggunakan bahan yang lebih kurang sama dan mengambil kesempatan terhadap masyarakat yang hyperseksualized untuk mengiklankan produk dengan berlumba-lumba menjual menggunakan ayat-ayat mengghairahkan. Sehingga iklan sabun untuk wanita pun dijual dengan cara fikir yang kotor dan menjelikkan.

Pengusaha produk pula perlu lebih sensitif terhadap keadaan masyarakat dan kesan daripada iklan mereka. Iklan berbaur lucah bukan sekadar boleh membawa kepada onani tetapi juga jenayah seksual. Mereka yang terkesan mungkin bukan anak-anak kecil walaupun itu kini bukan mustahil lagi. Bagaimana pula dengan anak-anak kita yang baru akil baligh? Remaja? Awal dewasa? Mereka yang pada usianya memang secara fitrah adalah mengenai berperang dengan hawa nafsu akibat dari perubahan hormon kerana proses pendewasaan. Tidakkah kita merasa bertanggungjawab? Usahlah dikejar tular dan kekayaan dengan menggadaikan maruah diri dan syarikat serta keberkatan rezeki. Mungkin boleh dicadangkan untuk anda mengiklan produk kesihatan wanita terus kepada kumpulan sasaran melalui bidan atau tukang urut dan sebagainya.

Sebagai ahli masyarakat pula, kita bertanggungjawab menegur syarikat-syarikat ini secara berhemah dan konsisten. Di sebalik mereka yang benar-benar berniat mahu memesongkan masyarakat, terdapat juga segelintir yang terkhilaf dalam keghairahan mengejar tular atau keuntungan. Seruan boikot tidak semestinya adil dan sesuai dalam semua situasi. Kebanyakan mereka yang berfikir boleh menilai semula baik dan buruk sesuatu tindakan selepas ditegur. Lalu perubahan dapat dicapai dengan lebih pantas dan tanpa banyak sakit menyakiti. Lantas kerosakan yang lebih parah dapat dicegah lebih awal.

Negara sedang tenat. Kebejatan akhlak adalah sesuatu yang kita tidak mahu normalisasikan walau seramai mana pun mereka yang melakukan dosa tersebut. Seks hanyalah perbuatan kemuncak sebuah komunikasi dua hala suatu perhubungan yang halal. Selain daripada itu, ia adalah penganiayaan. Hentikanlah melihat semua keindahan duniawi dari sudut memuaskan nafsu sahaja. Iklan mungkin sebahagian kecil daripada masalah. Tetapi pada hakikatnya jika ia menyumbang kepada pornografi, maka ia juga perlu di banteras.

Jenayah seksual telah berada di peringkat kritikal dan kita tiada masa untuk melayan lawak-lawak hambar di papan iklan jalanan. Tindakan tegas perlu di ambil, oleh semua; rakyat dan pemimpin, ahli masyarakat dan pemegang polisi. Semua kita adalah pemegang taruh kepada generasi akan datang.

Kerisauan berkisar “the lost generation” perlu merangkumi bukan sekadar pergelutan dengan penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira, ia juga mengenai kehilangan sebuah generasi akibat kebejatan akhlak. Bukan sedikit air mata yang tumpah akibat penyesalan dosa-dosa lalu dan bukan sedikit impaknya pada seseorang individu. Sebagai orang Islam kita mengimani bahawa setiap anak yang dipertanggungjawabkan kepada kita akan disoal diakhirat kelak tentang bagaimana kita melindungi hak mereka.

Artikel 34 Konvensyen Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang diratifikasikan Malaysia pada tahun 1995 juga menuntut kerajaan mengambil apa sahaja langkah bagi melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk eksploitasi seksual. Oleh itu marilah wahai ibu bapa, kita bersihkan laman awam kita dari iklan hyperseksual yang boleh mengganggu tumbesaran anak.

OLEH: Dr Siti Nurhayati Adznan (Aktivis Ikatan Pengamal Perubatan Dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik))

Akhlak, peribadi calon Pas lebih baik dari Anwar – Ketua Dewan Ulama Pas

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker