PRU-15 dijangka seawal April tahun ini – Mahdzir


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid meramalkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bakal diadakan antara April hingga Jun tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh menunggu terlalu lama berikutan perbezaan sokongan terlalu kecil di Dewan Rakyat.

Katanya, pelbagai kemungkinan boleh berlaku apabila ada perkara membabitkan kepentingan rakyat yang memerlukan undian dalam kalangan ahli dewan.

“Dalam keadaan kita cuma mendapat 111 undian berbanding 108 ketika meluluskan Belanjawan 2021 baru-baru ini, kita perlu sedar betapa margin antara kerajaan dan pembangkang terlalu tipis.



“Macam-macam boleh berlaku sekarang, jadi kerajaan tidak boleh tunggu terlalu lama untuk mengadakan PRU. Bersandarkan keadaan semasa, saya menjangkakan PRU-15 akan diadakan antara April hingga Jun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Gerasak, Naka di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menjangkakan PRU-15 tidak akan berlangsung dalam waktu terdekat.

Sebaliknya, beliau meramalkan PRU-15 akan diadakan menjelang tempoh penggal PRU-14 yang akan berakhir pada 2023.



Menurutnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berada pada kedudukan yang stabil terutama selepas sesi Parlimen lalu.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap menganggap kenyataan itu hanya pandangan peribadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas).

“Sehari sebelum Parlimen ditangguhkan baru-baru ini, Perdana Menteri sendiri membuat kenyataan akan mengadakan PRU-15 dalam masa terdekat.

“Kenyataan itu dibuat selepas Belanjawan 2021 diluluskan dengan beliau turut bertemu dengan kami, kalangan Ahli Parlimen. Jadi saya menjangkakan PRU-15 mungkin akan berlaku pada tahun ini juga,” katanya.



Mengulas isu agihan kerusi, Mahdzir berkata, jawatankuasa yang membincangkan perkara itu diharap dapat menghormati keputusan Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang mahu supaya mana-mana kerusi dimenangi parti itu termasuk yang wakil rakyatnya melompat ke parti lain akan tetap diserahkan kepada UMNO.

“Wakil rakyat yang melompat ke parti lain ini pun dulu menang atas tiket UMNO. Maka kerusi itu juga perlu dikira sebagai hak UMNO,” katanya. BH

Umno akan bertanding di kerusi Muhyiddin pada PRU-15, kata Ku Li



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker