Bersatu: Kawan atau lawan Umno?

Akan ada yang komen, kenapa perbezaan pendapat dibahas di luar. Pada mereka musuh akan untung jika berlaku perbahasan terbuka.

Umno adalah parti besar. Ia kembali bangkit. Umno wajar lebih terbuka. Jangan sapu sampah bawah permaidani. Jangan apologatik, takut apa orang lain kata.

Di zaman media sosial tidak ada yang boleh disembunyikan. Maklumat, percakapan dan kenyataan mudah bocor.



Jika bukan orang lain bocorkan, orang sendiri akan bocorkan. Bukan rahsia pun 145 ketua bahagian Umno menolak bersama Bersatu untuk PRU ke-15.

Dua hari lepas Annuar Musa membuat posting terbuka. Dia tuduh seorang pemimpin yang ada platform rasmi buat perkara yang berlawanan dengan dasar parti.

 

Annuar terlupa dia setiausaha agung BN. Dia pun suka mendahului Presiden Umno.



Annuar mendakwa parti sedang dibawa ke arah perpecahan bukan konsolidasi. Annuar tutup mata sebelah. Sebenarnya Umno yang sedang ditikam dan dilemahkan dari belakang.

Sekarang ini sibuk Bersatu membeli dan memujuk ketua-ketua cawangan Umno untuk menubuhkan cawangan baru Bersatu. Kenapa tidak dipujuk ketua PAS, PKR dan Amanah?

Masa orang Bersatu jadi menteri besar, mereka gunakan jawatan ketua kampung sebagai tawar-menawar tubuh cawangan baru. Sekarang guna PM desak MB Umno beri kuota 60-40 untuk lantik ketua kampung dan ahli majlis.

Pemimpin akar umbi Umno sudah lama sedar yang tikam Umno dari belakang di PRU14 adalah Bersatu. Yang rancang bubarkan Umno setelah PH berkuasa adalah Bersatu bukan PKR atau DAP



UMNO ada kompleks tinggi diri, lupa kalah PRU – Annuar Musa

Walaupun Pakatan Harapan (PH) sudah tumbang, tetapi DNA mereka masih ada dalam Bersatu 2.0. Bersatu melihat Umno sebagai rival bukan kawan.

Sekarang mereka tidak boleh haramkan Umno melalui perundangan. Tetapi melayan Umno dengan cara melemahkan Umno dan akhirnya kuburkan Umno.



Annuar dakwa membatalkan keputusan “No Anwar No DAP” akan menjadikan kubu Umno menjadi kubur. Itu hanya sentimen.

Hakikatnya lihatlah apa yang berlaku di Larut, di Mersing, di Tanah Merah dan di tempat- tempat ahli parlimen Umno melompat. Mana mungkin Annuar Musa tidak nampak itu semua.

Di manakah menteri-menteri lompat Bersatu yang asalnya Umno akan bertanding dalam PRU15 nanti. Sudah tentu di kubu Umno.

 



Bersatu lebih terdesak dan perlu melemahkan Umno jika Bersatu mahu tambah kerusi Parlimen dan DUN di PRU15 akan datang.

Sebab itu tidak timbul PKR dan DAP mahu bubarkan Umno. Tendensinya, Umno-Bersatu akan bertembung. Bersatu akan guna muslihat seperti yang berlaku pada PRN Sabah.

Annuar Musa dakwa Umno boleh tergolek kali kedua. Itulah rasional kenapa 143 ketua bahagian menolak kerjasama dengan Bersatu kerana tindak tanduk Bersatu mahu menggolekkan Umno kali kedua.

Percayalah, kalau Bersatu masih menghalalkan kaedah lompat parti untuk tambah MP Bersatu, sudah tentu MP Umno menjadi sasaran untuk dipujuk bukan MP PAS.



 

Itu yang patut dikhuatiri oleh Annuar. Kalau Ketereh adalah kubu Umno, maka parti mana yang akan menjadikannya kubur. DAP, PKR atau Bersatu?

Kalau Annuar kata pemimpin akar umbi resah, mereka sebenarnya lebih mengetahui apa yang berlaku di bawah. Mereka terdedah dengan pujukan dan tawaran.

Semoga Umno bukan umpama, terlepas dari mulut buaya tetapi masuk ke mulut harimau.

 

PRU15: PAS tak kerjasama dengan Umno jika tanpa Bersatu – Annuar


 

DR PUAD ZARKASHI ialah anggota Majlis Tertinggi Umno.

 

Akan bersatukah Bersatu atau bakal berterabur?

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker