Ringgit dan Bursa dibuka tinggi pagi ini

Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini selepas berakhirnya cuti hujung minggu panjang sempena cuti Krismas, disokong oleh sentimen positif membabitkan pengumuman kerajaan mengenai pelan 10 tahun bagi merancakkan sektor pelancongan.

Pada 9 pagi, ringgit meningkat kepada 4.0550/0650 berbanding dolar AS berbanding 4.0590/0620 sewaktu ditutup pada Khamis lalu.

Ketua Strategis Pasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata meskipun usaha itu adalah pelan jangka panjang bagi menggerakkan sektor pelancongan tempatan, tetapi langkah jangka pendek kerajaan untuk membenarkan perjalanan rentas negeri pada 6 Disember lalu menyaksikan kebanyakan kawasan tumpuan pelancongan mencatat aliran pelancong domestik yang ketara.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0514/0596 daripada 3.0537/0571 Khamis lepas dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4876/5028 daripada 5.5186/5243 sebelum ini.

Unit tempatan itu juga naik berbanding euro kepada 4.9435/9573 daripada 4.9479/9528 minggu lepas namun susut berbanding yen Jepun kepada 3.9156/9256 daripada 3.9153/9193 sebelum ini.

Pasaran tempatan ditutup pada Jumaat lepas bersempena cuti Krismas.

Bursa Malaysia

Bursa Malaysia meningkat dalam dagangan awal hari ini, didorong oleh momentum belian ketika pasaran memasuki minggu terakhir bagi 2020.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meraih 2.34 mata kepada 1,643.51 selepas dibuka menokok 1.06 mata kepada 1,642.23 berbanding 1,641.17 pada Khamis lalu.

Di pasaran secara meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 314 berbanding 161 manakala 302 lain tidak berubah, 1,351 tidak diniagakan dan 17 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 550.91 juta unit bernilai RM143.49 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya berkata walaupun pasaran berkemungkinan masih menumpukan aktiviti memperelokkan akaun, namun aliran peningkatan diunjur dikekang oleh kebimbangan terhadap penularan varian baharu COVID-19 yang menjejaskan usaha seperti pembukaan semula ekonomi.

Dalam pada itu, peserta pasaran juga meninjau peluang dagangan membabitkan sektor pembinaan dan bahan binaan berikutan projek-projek prasarana sedia ada dan baharu yang akan berterusan sehingga 2021 selain faktor peningkatan harga komoditi.

“Selain itu, harga minyak sawit mentah mencecah paras tertinggi beberapa tahun yang menandakan bahawa pendapatan korporat akan lebih kukuh,” kata Malacca Securities.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Genting Bhd naik tujuh sen kepada RM4.53, CIMB menokok empat sen kepada RM4.23, Maybank dan TNB masing-masing meningkat lapan sen kepada RM8.52 dan RM10.78, Public Bank menambah 14 sen kepada RM20.70 dan Petronas Chemicals tidak berubah pada RM7.50.

Pengeluar sarung tangan seperti Top Glove dan Hartalega pula masing-masing berkurangan lapan sen kepada RM6.41 dan RM12.50.

Bagi saham aktif, AT Systematization naik tiga sen kepada 21.5 sen, Iris Corp meraih satu sen kepada 41.5 sen, KTG dan Pegasus masing-masing tidak berubah pada 30 sen dan tiga sen manakala Fintec Global susut setengah sen kepada 8.5 sen dan Marine & General turun 2.5 sen kepada 19 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 26.46 mata kepada 11,837.38, Indeks FBMT 100 meraih 23.96 mata kepada 11,593.89, Indeks Syariah FBM Emas menokok 7.75 mata kepada 13,290.93, FBM 70 melonjak 60.55 mata kepada 15,173.09 manakala FBM ACE naik 40.71 mata kepada 10,698.01.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian pula meningkat 0.20 mata kepada 176.09, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 62.23 mata kepada 15,322.60 manakala Indeks Perladangan meraih 19.72 mata kepada 7,437.0. BERNAMA

Penangan Belanjawan Lulus! Bursa Malaysia ditutup tinggi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker