Penangan Belanjawan Lulus! Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mencatatkan prestasi berbeza berbanding aliran serantau apabila ditutup tinggi hari ini setelah Belanjawan 2021 diluluskan di Dewan Rakyat menerusi undi belah bahagian selepas bacaan kali ketiga.

Petunjuk pasaran, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat O.68 peratus atau 11.28 mata kepada 1,674.02 daripada 1,662.74 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks barometer itu dibuka 1.20 mata lebih rendah kepada 1,661.54 sebelum bergerak di antara 1,655.88 dengan 1,679.10 sepanjang dagangan hari ini.



Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 659 berbanding 524, manakala 523 kaunter tidak berubah, 440 kaunter tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 9.96 bilion saham bernilai RM5.02 bilion daripada 11.88 bilion saham bernilai RM7.20 bilion semalam.

Di peringkat rantau, saham Asia mengalami penurunan selepas mengambil petunjuk daripada prestasi saham Amerika Syarikat yang lemah dalam tempoh semalaman bagi hari keempat berturut-turut.

Ia susulan pelabur dipengaruhi oleh kemajuan pakej rangsangan bernilai AS$908 bilion dan keyakinan terhadap pemberian vaksin semakin suram ekoran peningkatan kes kematian akibat COVID-19 dan sekatan pergerakan.



Bursa Saham Shanghai China susut 0.06 peratus kepada 3,367.23; Indeks Straits Times Singapura turun 0.01 peratus kepada 2,857.73; Nikkei 225 Jepun susut 0.17 peratus kepada 26,687.84 dan Indeks Hang Seng Hong Kong menguncup 0.69 peratus kepada 26,207.29.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata bursa tempatan dibuka rendah dan meneruskan penurunan semalam yang seiring dengan aliran bursa serantau di tengah-tengah perkembangan politik domestik serta penjualan baru di kaunter sarung tangan getah.

Beliau berkata, bagaimanapun bursa tempatan meningkat semula dengan kukuh selepas didorong sentimen positif susulan kelulusan ke atas Belanjawan 2021.

“Antara komponen FBM KLCI, Telekom mendahului dengan kenaikan sebanyak 2.32 peratus memandangkan belanjawan yang diluluskan menunjukkan kejelasan mengenai rancangan kerajaan untuk meningkatkan rangkaian Internet di seluruh negara.



“Berlandaskan rancangan kerajaan itu yang dijangka berada di landasannya, Indeks Teknologi mencatatkan lonjakan terbesar iaitu 1.50 peratus dalam kalangan sektor manakala Indeks Tenaga mengalami penurunan paling ketara sebanyak 0.74 peratus,” katanya kepada Bernama.

RHB Bank pula mendahului senarai susut apabila merosot 2.74 peratus susulan laporan bahawa Aabar Investment merancang untuk menjual keseluruhan pegangannya dalam bank itu, katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Public Bank melonjak 38 sen kepada RM21.68, Petronas Chemicals dan Top Glove masing-masing menambah 11 sen kepada RM7.96 dan RM6.41 sementara Tenaga meningkat 20 sen kepada RM10.80.

Maybank susut lima sen kepada RM8.85.



Antara saham aktif, Sino Hua-An meningkat 4.5 sen kepada 20.5 sen, Yong Tai naik tujuh sen kepada 35.5 sen, AT Systematization dan Trive Property masing-masing menambah setengah sen kepada 18 sen dan 1.5 sen sementara XOX tidak berubah pada 10.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 77.07 mata kepada 12,009.03, Indeks FBMT 100 naik 75.66 mata kepada 11,775.89, FBM ACE melonjak 223.20 mata kepada 10,691.32, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 88.37 mata kepada 13,296.96 dan FBM 70 meningkat 83.50 mata kepada 15,281.13.

Sementara itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.20 mata kepada 177.65, Indeks Perladangan naik 49.30 mata kepada 7,391.89 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 37.38 mata kepada 15.951.72.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 6.17 bilion saham bernilai RM4.12 bilion daripada 7.57 bilion saham bernilai RM6.15 bilion pada Isnin.



Jumlah dagangan waran sebanyak 871.51 juta unit bernilai RM146.27 juta berbanding 1.60 bilion unit bernilai RM259.50 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula meningkat kepada 2.92 bilion saham bernilai RM743.49 juta daripada 2.71 bilion saham bernilai RM796.33 juta.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 729.16 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan perindustrian (1.31 bilion), pembinaan (260.99 juta), teknologi (539.89 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (139 juta), hartanah ( 774.27 juta), perladangan (88.85 juta), REIT (11.63 juta), dana tertutup (14,900), tenaga (1.96 bilion), penjagaan kesihatan (94.96 juta), telekomunikasi dan media (83.14 juta), pengangkutan dan logistik (106.88 juta) serta utiliti (72.56 juta). — Bernama



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker