Pemimpin ucap takziah kepada keluarga Ungku Aziz
KUALA LUMPUR: Pemimpin parti, pentadbiran kerajaan dan pimpinan pembangkang yang merasakan kehilangan tokoh pendidikan, Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin menyifatkan negara kehilangan seorang tokoh yang banyak berjasa buat negara khususnya dalam bidang pendidikan dengan pemergian Allahyarham.
“Menerima perkhabaran duka pemergian tokoh ulung, Prof Diraja Ungku Abdul Aziz petang tadi. Ucapan takziah saya kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham, ” katanya menerusi Twitter.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, pula menzahirkan penghargaan buat Allahyarham atas penubuhan Lembaga Tabung Haji (TH) ketika hayatnya.
“Tertubuhnya TH hingga gah seperti hari ini adalah hasil idea seorang tokoh ekonomi terkenal Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, ” katanya melalui ciapan di Twitter.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, menyifatkan negara kehilangan ilmuwan ulung yang tidak akan berganti dengan pemergian Allahyarham selain mendoakan rohnya ditempatkan bersama insan beriman.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pula mengakui sumbangan Allahyarham kepada pembangunan pendidikan dan ekonomi dalam negara begitu besar untuk rakyat Malaysia.
“Negara kehilangan permata yang banyak berjasa kepada masyarakat dengan pemergian Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat, ” katanya melalui hantaran di Facebook.
Sementara itu, pemergian Allahyarham turut dirasai Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan negara kehilangan sebutir permata yang berharga dalam dunia akademik.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, pula menyifatkan Allahyarham sebagai putera terbaik bangsa di mana sumbangannya amat luar biasa dan akan dikenang selama-lamanya.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghargai peranan besar dimainkan Allahyarham di sebalik penubuhan TH dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).