P Pinang sedia ‘perang air’ dengan Kedah di mahkamah, kata Ramasamy

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata tindakan mahkamah akan menjadi pilihan terakhir manakala Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy berkata negeri itu bersedia untuk sebarang tindakan undang-undang.

PETALING JAYA: Kerajaan Pulau Pinang tidak akan tunduk pada ugutan menyekat Sungai Muda atau tindakan undang-undang oleh Kedah dalam pertikaian air membabitkan dua negeri berjiran itu.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy berkata, mereka tidak perlu bimbang kerana undang-undang berpihak kepada negeri itu.

“Jika perkara itu dibawa ke mahkamah, kami akan lawan hingga akhir kerana kami mempunyai sebab munasabah mengapa kerajaan Pulau Pinang tidak perlu membayar kerana air (mentah) diambil dari bahagian sungai yang terletak dalam negeri kami.

“Dua perjanjian dua hala pada 1980-an yang didukung Perlembagaan Persekutuan akan memberikan penghujahan yang kukuh kepada kami untuk tidak membayar kepada Kedah,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan Kedah mungkin perlu mengheret Pulau Pinang ke mahkamah jika enggan membayar air mentah diambil dari sungai yang berasal dari negeri itu.

 

P. Ramasamy: Tidak Salah Ahli Politik Campur Tangan Kes LTTE?

Pada mulanya, Sanusi berkata beliau akan meminta penduduk di sepanjang Sungai Muda meletakkan beg pasir untuk menghalang pembekalan air kepada Pulau Pinang sekiranya negeri itu enggan membayar.

Beberapa hari kemudian, beliau menggesa kerajaan persekutuan menjadi fasilitator rundingan dengan kerajaan Pulau Pinang berhubung bayaran terhadap air mentah.

Ramasamy merasakan tindakan Sanusi baru-baru ini seolah-olah menunjukkan beliau tergesa-gesa mahu menghukum Pulau Pinang, menyatakan pimpinan PAS mahu menentang kerajaan Pulau Pinang diketuai DAP.

“Seperti saya katakan sebelum ini, kami tiada sebarang masalah untuk membincangkan perkara melibatkan kepentingan awam, terutama dalam isu air (mentah), tetapi ia tidak boleh dilakukan melalui ugutan.

“Saya ingin mengulangi kami menyokong kerajaan Kedah menerima RM100 juta daripada kerajaan persekutuan untuk melindungi kawasan tadahan air di Ulu Muda dan untuk mengairi sawah padi,” katanya.

Air dari Ulu Muda turut digunakan Perlis dan Perak.

 

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker