Anwar mahu heret dalang kartel seludup daging ke mahkamah

PETALING JAYA: Presiden PKR, Anwar Ibrahim menggesa kerajaan segera menjalankan siasatan dan mengheret dalang di sebalik aktiviti penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk yang diragui status halal dan kualitinya.

Beliau berkata, kakitangan agensi kerajaan yang terlibat juga perlu diheret ke muka pengadilan.

“Ini ternyata satu kegiatan yang tidak bermoral tatkala kita harus pertingkatkan segala usaha dan upaya kita dalam memerangi rasuah dan kebobrokan.

“Kakitangan kerajaan ini mudah dibeli sekali gus mengabaikan tanggungjawab mereka kepada negara dan rakyat.

“Skandal ini ternyata telah merobek reputasi dan imej institusi itu yang diamanahkan untuk memulia dan meningkatkan darjat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat ulasan dan pandangan berkaitan isu daging seludup kerana dikhuatiri boleh menjejaskan kredibiliti kes.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM Abdul Aziz Jusoh berkata, kes masih dalam siasatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan semua pihak diminta menghormati tindakan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Media sebelum ini melaporkan kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil, dan Argentina sebelum membungkusnya semula dengan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker