Kit Siang dakwa Idea’ Ratifikasi ICERD’ datang dari rakan mereka yang kini Menteri PN

Pemimpin DAP Lim Kit Siang mengecam Setiausaha Agung BN Annuar Musa yang melabelkan Pakatan Harapan (PH) sebagai gabungan “pro-liberal” dan “pro-sosialis” untuk mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Annuar dilaporkan telah mendakwa bahawa usaha PH untuk mengambil alih semula kerajaan adalah kerana gagal untuk mengesahkan perjanjian seperti Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rome.

Bagaimanapun, Lim mengingatkan Menteri Wilayah Persekutuan bahawa cadangan ratifikasi perjanjian itu dibuat oleh rakan kabinetnya sendiri dari Bersatu, Saifuddin Abdullah, sebagai Ahli Parlimen PKR dan Menteri Luar Negeri ketika itu.



“Annuar tidak menyedari bahawa orang yang cuba meratifikasikan ICERD dan Statut Rom semasa pentadbiran PH kini berada di kabinet Muhyiddin sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah.

“Mengapa Annuar Musa terus melakukan pembohongan?” soalnya dalam kenyataan media hari ini.

Lim turut mempersoal sama ada Saifuddin yakin untuk mengakui kegagalannya meratifikasi ICERD selepas pelbagai bantahan termasuk himpunan diadakan.

Pemimpin veteran DAP itu juga mendakwa ketika Saifuddin pertama kali berbicara tentang “daulah terpendam” dalam kerajaan, DAP tidak tahu apa-apa tentang cadangan meratifikasi ICERD, meskipun kemudian DAP dimomokkan sebagai anti-Melayu, anti-Islam dan anti-institusi raja berhubung isu berkenaan.



“Saya menekankan bahawa ICERD tidak bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia, Raja-raja, atau anti-Melayu, mahupun anti-Islam kerana 99 peratus daripada 1.9 bilion umat Islam di dunia tinggal di negara-negara yang telah meratifikasikan ICERD dan bahawa 55 dari 57 negara di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah meratifikasikan ICERD, kecuali Malaysia dan Brunei.

 

KUALA LUMPUR 31 OKTOBER 2018. Peserta himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dihadapan bangunan Parlimen. 

“Tambahan pula, 36 dari 38 negara yang memiliki sistem monarki telah meratifikasi ICERD dan sama sekali tidak ada petunjuk bahawa pengesahan ICERD oleh negara-negara ini sejak tahun 1970 telah merosakkan sistem monarki di negara-negara tersebut sehingga menyebabkan penghapusannya.

“Tetapi saya bersetuju bahawa Malaysia tidak boleh meratifikasikan ICERD sehingga alasannya siap untuk meyakinkan penduduk Malaysia bahawa ICERD bukan anti raja, anti-Melayu, atau anti-Islam,” katanya.



Lim juga berkata bahawa dia berada di China dalam lawatan kerja ketika kegagalan ICERD pertama kali meletus pada akhir tahun 2018.

“Pada 19 November, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan bahawa ratifikasi ICERD akan memerlukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan yang merupakan ‘perkara mustahil untuk dilakukan’ tanpa majoriti dua pertiga di Parlimen.

“Pada 24 November 2018, dalam ucapan di Majlis Makan Malam Tahunan Persatuan Jiansu Malaysia di Souchou, China, saya mengatakan bahawa tidak ada sesiapa pun rakyat Malaysia yang mahu negara kita meratifikasikan ICERD jika harga untuk berbuat demikian adalah satu lagi rusuhan perkauman seperti 13 Mei di negara kita.

“Kerana tidak ada sebarang keraguan bahawa terdapat unsur-unsur yang tidak bertanggungjawab yang cuba menghasut dan meningkatkan syak wasangka, permusuhan dan kebencian antara kaum dan agama untuk menimbulkan keadaan yang boleh mencetus satu rusuhan perkauman,” katanya lagi.



Untuk rekod, Saifuddin mengumumkan keluar Umno dan menyertai PKR pada 2015.

Dia kemudian menyertai kumpulan Mohamed Azmin Ali meninggalkan parti itu dalam gerakan politik Langkah Sheraton Feb lalu yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH.

Saifuddin kini merupakan ahli Bersatu, yang merupakan parti komponen kerajaan PN yang diterajui Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

 



Pendedahan TMJ mengenai Statut Rome buat Mahathir marah sakan.

ICERD: Perang belum tamat, bekas ketua hakim ingatkan Melayu



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker