Moto 2 :Kasma Daniel tinggalkan SAG Team

Pelumba Moto2 negara Kasma Daniel Kasmayudin, mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak sedia ada bersama pasukan dari Sepanyol SAG Team, untuk Kejuaraan Dunia Moto2 musim hadapan.

Tanpa memberikan alasan kukuh pelumba berusia 20 tahun itu mendedahkan, musim ini merupakan tahun yang mencabar bagi dirinya, namun berterima kasih kepada pasukan berkenaan yang sentiasa membantunya, sejak mewakili pasukan itu tahun ini.

Anak jati Johor itu masih mempunyai kontrak bersama SAG Team sehingga akhir 2022.



“Saya bersyukur dengan pengalaman dan bimbingan yang diberikan oleh SAG kepada saya. Saya mendoakan SAG yang terbaik untuk masa depan. Terima kasih juga kepada (penaja utama SAG Team) TKKR Racing Team, yang memberikan saya peluang ini pada tahun 2020,” katanya menerusi hantaran terbaharu dalam laman Instagram miliknya, @kasmadaniel.

Menurut Kasma Daniel, pengurusannya sedang mengadakan perbincangan dengan pelbagai pasukan dalam Kejuaraan FIM CEV Repsol dan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), bagi membolehkan beliau meneruskan kerjaya permotoran profesional musim hadapan.

Pada masa yang sama katanya, mereka juga sedang berbincang dengan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM), bagi mendapatkan bantuan kewangan untuk menampung perbelanjaan untuk musim 2021.

Kasma Daniel sebelum ini pernah mendapat sumbangan peribadi berjumlah RM52,000, daripada Kementerian Belia dan Sukan bagi menampung tiket penerbangan dan kos penginapan untuk menyertai Kejuaraan Dunia Moto2 musim ini.

Bernama difahamkan keputusan Kasma Daniel meninggalkan pasukan SAG Team disebabkan penaja utama pasukan itu OneXOX TKKR dari Malaysia, yang memutuskan untuk tidak meneruskan penajaan pada musim hadapan.



Pasukan SAG Team bakal dikenali dengan nama baharu, Pertamina Mandalika SAG Team, selepas mereka menjalin kerjasama dengan Mandalika Racing Team (MRT) dari Indonesia dan bakal membuat kemunculan sulung pada Kejuaraan Dunia Moto2 musim 2021.

Pasukan itu berjaya mendapatkan khidmat pelumba berpengalaman, Thomas Luthi dari Switzerland, selain bekas pelumba pasukan NTS RW Racing GP Bo Bendsneyder dari Belanda, bagi saingan kelas Moto2.

Kasma Daniel gagal meraih sebarang mata dalam 14 perlumbaan Moto2 yang disertainya musim ini.

— BERNAMA



Terbabit kemalangan ngeri, Hafizh OK

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker