Ku Li malu Zahid setuju jadi ahli majlis presiden PN
Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berkata dia “agak malu” dengan keputusan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk menyertai Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN).
Katanya, Umno bukanlah ahli PN.
Ketika ditanya mengenai langkah seterusnya yang harus diorak Umno selepas kerajaan menang undian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, Razaleigh berkata, tindakan Zahid “sangat aneh”.
“Saya tak tahu (langkah Umno seterusnya). Saya rasa awak perlu tanya Ahmad Zahid sebagai presiden untuk memberikan jawapan yang lebih jelas tentang soalan ini.
“Sebab dia pun dah bersetuju untuk menjadi ahli Majlis Presiden PN. Saya agak malu, atau memandangn (keputusan itu) sebagai sangat aneh untuk dia menerima (menjadi ahli) di dalam majlis presiden (itu), sebab Umno bukan ahli PN.
“[…] Dari mana datangnya Umno? Umno tak ada langsung (dalam hal ini),” katanya dalam bual bicara Minda Profesor Negara Mengenai Masa Depan Malaysia di Kajang hari ini.
PN merupakan satu kerjasama politik yang dibentuk selepas Langkah Sheraton menumbangkan PH pada hujung Feb lalu.
Pada asalnya, ia menyaksikan kerjasama antara Bersatu yang keluar daripada PH, untuk membentuk kerajaan baru bersama BN, PAS, bekas ahli PKR yang keluar parti, GPS, PBS, dan Star.
Kini PN secara rasminya hanya dianggotai PAS, Bersatu, Star dan SAPP, manakala BN pula hanya menyokong, tetapi tidak menyertainya, namun Bersatu dilihat dominan sementelahan perdana menteri datang daripada parti itu.
Minggu lalu, PN bersama parti lain dalam kerajaan sepakat menubuhkan majlis presiden yang dianggotai ketua parti – termasuk Ahmad Zahid – selain penubuhan sekretariat yang dianggotai oleh semua setiausaha agung parti dalam kerajaan PN.
Pada forum hari ini juga, moderator bertanya MP Gua Musang, apakah gabungan yang lebih sesuai untuk Umno antara Muafakat Nasional (MN) atau PN, atau apakah Umno perlu menerokai gabungan baru.
Jawab Tengku Razaleigh, dia sendiripun keliru dengan keadaan yang berlaku kini.
Bagaimanapun, katanya, hakikat Bersatu ialah parti yang “mencuri” banyak ahli Umno, bukanlah sesuatu yang boleh dimaafkan.
“Tak boleh nak samakan BN dengan Bersatu. Bersatu wujud kerana curi orang dari Umno. Itu tak boleh kita ampun. Dari segi moral pun dah tak betul Bersatu ni.
“[…] Kekuatan dia lahir daripada pencurian. Banyak orang duduk jadi menteri itu adalah orang yang dicuri daripada Umno.
“Nak suruh Umno pergi melutut dengan mereka? Tak boleh. Mana maruah kita,” katanya.
Jelasnya lagi, PAS juga telah memberi kata putus untuk tidak sesekali akan bersama parti serpihannya, Amanah.
Menurut Tengku Razaleigh, pada pilihan raya akan datang, Umno mesti mendapatkan semula kuasanya dengan melaraskan semula (reset) agenda parti, termasuk lebih banyak melibatkan orang muda. .
Dia juga percaya Umno boleh membuat pakatan dengan kumpulan-kumpulan yang produktif yang “tidak anti siapa-siapa”, yang katanya, boleh diharapkan untuk menumpukan masa dalam pembangunan masyarakat. Mk
https://mykmu.net/2018/01/27/apakah-mahathir-punca-mukhriz-malu-mengaku-dari-malaysia/
You must be logged in to post a comment.