Susulan tuduhan jenayah seks Da’i Syed, pakar saran selebriti dakwah dipantau, program realiti agama dikaji semula

Program realiti televisyen untuk mencungkil pendakwah ‘selebriti’ perlu dikaji keberkesanannya supaya tidak menempelak imej agamawan dan ustaz tradisional sehingga menjejaskan Islam sendiri.

Dalam membuat gesaan itu, Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Mahmood Zuhdi Abd Majid menegaskan program sedemikian boleh membawa kesan sampingan yang boleh mecemarkan gerakan dakwah di negara ini.

“Kita kena tengok balik, kalau kita lahir selebriti dakwah yang tidak diberi asuhan secara mendalam, tidak ada pemantauan secara mendalam, jadi bahaya kepada bidang itu, sebab itu ada kes-kes (kontroversi melibatkan pendakwah selebriti).

“Saya tidak nafi keikhlasan selebriti dakwah tetapi bila sudah popular, godaan terlampau banyak, bimbang mereka tidak dapat berhadapan dengan godaan itu, kena hentikanlah pencarian pendakwah dengan cara program realiti televisyen ini,” katanya kepada FMT.

Isu pendakwah selebriti menjadi kontroversi apabila seorang peserta program realiti TV, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful atau Da’i Syed, didakwa di mahkamah atas tuduhan seks luar tabii dan merogol melibatkan beberapa mangsa.

Menurut polis, pendakwah berusia 25 tahun itu digambarkan sebagai berperwatakan baik, boleh menenangkan mangsa, selain menggunakan imejnya sebagai pendakwah bagi menyakinkan mangsa mendekatinya.

Mahmood akur masyarakat terlalu bingkas melabelkan seseorang pendakwah, khususnya, mereka yang ditonjolkan menerusi program televisyen.

“Mereka ini bukan agamawan, malah bukan ustaz. Mereka belum cukup akademik dan tidak cukup ilmu (untuk dilabel agamawan atau ustaz). Bila ada ilmu tentang agama barulah mereka boleh menjadi pendakwah yang baik,” katanya.

Mahmood berkata kalangan masyarakat mempunyai persepsi yang silap apabila menyamakan pendakwah selebriti kepada ustaz atau agamawan, walhal mereka tidak lebih daripada aktivis Islam.

Beliau berkata, tidak dinafikan bahawa pendakwah selebriti mampu memberi impak positif kepada agama, namun mereka perlu dipantau, bukannya dibiarkan sesuka-hati berdakwah.

“Kita kena ada satu pusat latihan dakwah lanjutan sebaik sahaja selepas mereka tamat program realiti TV. Pusat ini akan menyediakan bimbingan bukan sahaja tentang benda-benda akademik dan ilmu agama tetapi juga tentang pegangan dan prinsip hidup.

“Menjadi pendakwah selebriti adalah perkara mencabar dari segi ketahanan (nafsu) budak-budak perempuan yang lawa-lawa minat, kemudian (tidak boleh kawal) nak berbini dua, berbini tiga, tetapi duit tidak ada,”katanya.

Mahmood turut menggesa majlis agama Islam tidak hanya memfokuskan isu keabsahan sijil pendakwah yang berdakwah di masjid atau surau sahaja, tetapi turut memantau rapat pendakwah selebriti ini supaya ilmu disampaikan kepada masyarakat tidak terpesong.

“Masalahnya majlis agama Islam suka bertindak kepada pendakwah tradisional, katakanlah seseorang yang lulusan daripada Al-Azhar atau mana-mana universiti Islam luar negara, kita tekan mereka supaya dapat tauliah dan sebagainya.

“Tetapi untuk pendakwah selebriti, kita biarkan pula, jadi ia bahaya dan memberi kesan negatif. Ia juga menyebabkan masyarakat khususnya menjadi berceramuk,” katanya.

Pandangan mufti

Sementara itu Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, kes Da’i Syed yang dituduh melakukan jenayah seks adalah sesuatu yang jarang berlaku.

Bagaimanapun jika tertuduh disabitkan atas tuduhan-tuduhan yang dihadapinya, ia satu tamparan kepada mereka yang ikhlas berdakwah, kata beliau.

“Kalau dia sendiri tidak boleh kawal nafsu dia, ini akan jejaskan kepada pendakwah lain sebab orang tidak percaya kepada mereka,” katanya kepada FMT.

Wan Salim juga bimbang kes itu sudah pun menyebabkan masyarakat memandang serong kepada pendakwah termasuk pendakwah selebriti selepas ini.

Baginya, sekiranya pendakwah itu memiliki kelemahan, mereka harus perbetulkan diri dan menunjukkan teladan baik.

Sementara itu, Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman turut bersetuju isu yang timbul terhadap pendakwah selebriti itu akan memberi kesan buruk terhadap imej pendakwah.

“Pendakwah yang ikhlas dia tidak perlukan ‘upah’ dan tidak berkira dengan kerja yang dilakukan. Ada pendakwah mempunyai niat tertentu, sebab itu dalam Islam apa sahaja kita buat kerana Allah dan mesti berdakwah dengan ikhlas,” katanya. FMT

Pak Kadiaq antara Akaun Palsu, Sakit Mental & Perisik Antarabangsa

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker