Sektor penerbangan ‘patah sayap’, 2020 tahun terburuk industri

Paparan imej deretan pesawat tersadai di serata lapangan terbang global pada Mac lepas susulan sekatan perjalanan dan penutupan sempadan demi membendung penularan COVID-19, terbukti menjadi realiti permulaan buruk untuk sektor penerbangan bagi 2020.

Ini disusuli dengan permintaan yang menjunam selepas negara-negara dilanda gelombang kedua, ketiga malah ada yang mencecah keempat jangkitan virus tersebut yang hanya menyukarkan lagi prospek untuk perjalanan udara kembali beroperasi.

Berikutan itu, aliran pendapatan menjadi lumpuh, barisan tenaga kerja diarah bercuti daripada tugas masing-masing, lapangan terbang ditutup, penghantaran pesawat baharu ditangguhkan manakala pengeluaran pesawat turut digantung.

Ironinya, ketika beberapa sektor dan industri lain mula menampakkan sinar baharu atau pulih sepenuhnya, keadaan ternyata sebaliknya untuk industri penerbangan yang belum bernasib baik, setidak-tidaknya sehingga 2024.

Bukan Krisis Pertama Namun Terburuk

Hakikatnya, dunia penerbangan sudah lali dengan pelbagai kejutan — serangan pengganas pada 11 Sept, 2011 atau 9/11; penularan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003; krisis kewangan dan kemelesetan global pada 1997/98 dan 2007/08 yang andai diamati terbukti tidak setimpal dengan impak akibat COVID-19.

Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), syarikat-syarikat penerbangan global dijangka kerugian sehingga US$84.3 bilion (US$1 = RM4.07) tahun ini, sekali gus menjadikan 2020 sebagai tahun terburuk dalam sejarah penerbangan dengan unjuran pemulihan sepenuhnya trafik udara hanya pada 2024.

Di peringkat domestik, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong pada 21 Julai lepas telah memaklumkan Dewan Rakyat bahawa industri penerbangan negara dijangka rugi sekitar RM13 bilion tahun ini, termasuk kerugian RM10.9 bilion yang ditanggung syarikat penerbangan tempatan — Malaysia Airlines Bhd (MAB), AirAsia Group Bhd dan Malindo Airways Sdn Bhd.

Menurutnya, pengendali lapangan terbang seperti Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd pula dijangkakan mencatat kerugian berjumlah RM2.1 bilion tahun ini.

Sementara itu, Penganalisis Penerbangan Endau Analytics Shukor Yusof menyifatkan 2020 akan dikenang sebagai ‘annus horribilis’ atau tahun terburuk.

Berbanding 2014 apabila industri tempatan mengalami dua tragedi besar membabitkan penerbangan MH370 dan MH17 Malaysia Airlines selain QZ850 AirAsia Indonesia, keadaan pada masa itu dan sekarang adalah berbeza.

“Namun, dari segi sejarahnya, apa yang berlaku sekarang adalah terburuk!” katanya.

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menjangkakan trafik penumpang bagi tahun ini menguncup 72.8 peratus hingga 75.7 peratus tahun ke tahun (yoy) kepada 26.6 juta hingga 29.7 juta penumpang.

Trafik penumpang dalam negara juga merosot ke paras terendah dalam sejarah penerbangan Malaysia iaitu hanya 802,525 penumpang pada suku kedua atau susut 97.0 peratus daripada 26.7 juta penumpang pada suku sama tahun lepas.

Bagi separuh pertama 2020, permohonan Hak Trafik Udara (ATR) susut ketara sebanyak 55.6 peratus berbanding tempoh sama pada 2019.

Kekangan Sekatan Sempadan

Virus COVID-19 terbukti menular jauh lebih pantas berbanding SARS ketika aspek perjalanan masa kini menyaksikan dunia lebih kesalinghubungan berbanding 2003, menyebabkan pihak berkuasa penerbangan awam tiada pilihan kecuali mengenakan sekatan perjalanan dan menutup sempadan antarabangsa.

Malaysia juga tidak terkecuali dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas dengan syarikat-syarikat penerbangan bertindak mengurangkan rangkaian secara menyeluruh yang dimulakan dengan laluan yang menghubungkan China.

Operasi dihadkan kepada perkhidmatan domestik dan penerbangan bersama kerjasama Wisma Putra untuk membawa pulang rakyat tempatan yang terkandas di luar negara selain perkhidmatan kemanusiaan menghantar pulang warga asing.

Syarikat-syarikat penerbangan juga terpaksa turut melakukan pembatalan pada saat-saat akhir bagi mematuhi sekatan ditetapkan, termasuk mengalihkan penumpang menaiki pesawat lain yang hanya meningkatkan kos operasi.

Tempoh separuh pertama 2020 menyaksikan sejumlah 169,728 penerbangan domestik dan antarabangsa membabitkan tiga syarikat penerbangan tempatan iaitu MAB, AirAsia dan Malindo telah dibatalkan yang turut menjejaskan sebanyak 4.316 juta penumpang.

Bagi menangani keadaan itu, penumpang ditawarkan dengan aspek seperti bayaran balik tiket penerbangan, baucar, fleksibiliti tanpa had dari segi pindaan tarikh dan pengecualian fi tertentu.

MAVCOM merekodkan kira-kira 2,340 kes bayaran balik tiket pengguna pada separuh pertama 2020 akibat pembatalan penerbangan susulan COVID-19 yang mana 2,146 membabitkan permohonan bayaran balik dan bakinya dari segi pindaan tarikh penerbangan.

Permintaan Kargo Meningkat

Walaupun mencatatkan penguncupan besar dari segi faktor muatan, pergerakan kargo sebaliknya menyaksikan pertumbuhan kukuh menerusi penghantaran keperluan perubatan seperti pelitup muka, sarung tangan getah dan kelengkapan perlindungan diri yang sebahagian besarnya dikeluarkan di Asia.

Lonjakan e-dagang, keperluan makanan dan barangan mudah rosak lainnya turut menyumbang kepada permintaan secara menyeluruh.

Malah, ada syarikat penerbangan yang bertindak mengeluarkan tempat duduk daripada pesawat untuk dijadikan pesawat pengangkut atau penghantaran segera demi menampung lonjakan permintaan bagi kargo.

Pengendali kargo iaitu MASkargo dan Teleport dilaporkan terpaksa menukar jadual penghantaran masing-masing bagi mengurus pergerakan kargo yang menjadi keutamaan dengan pekerja bertugas siang dan malam untuk memastikan penghantaran tersebut, khususnya bekalan perubatan tiba ke destinasi.

Teleport merekodkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM20 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2020 walaupun hasilnya susut akibat kapasiti kargo yang terjejas.

Pengurangan Kapasiti dan Penstrukturan Semula

Impak besar pandemik COVID-19 terhadap industri penerbangan telah menyebabkan banyak syarikat-syarikat penerbangan melaksanakan pendekatan mengurangkan kapasiti secara besar-besaran, termasuk menurunkan kos operasi, potongan gaji, pemberhentian pekerja, penstrukturan semula hutang dan korporat serta menutup anak syarikat.

AirAsia telah menamatkan perkhidmatan lebih 10 peratus daripada 24,000 kakitangannya bagi memastikan kelangsungan selain nasib sama turut dialami 2,200 pekerja Malindo Airways manakala Malaysia Aviation Group (MAG) menawarkan skim persaraan awal kepada para pekerja, termasuk kalangan pekerja MAB dan Firefly.

Pada Oktober lepas, MAB telah mengumumkan langkah penstrukturan semula segera membabitkan hutang bernilai RM16 bilion dan sudah menghubungi pihak pemiutang berikutan kerajaan tidak akan menyalurkan lagi sebarang tunai atau modal menerusi pemegang saham tunggal syarikat itu, Khazanah Nasional Bhd.

Sekiranya rundingan itu gagal, MAB terpaksa memulakan proses penggulungan syarikat dan MAG mungkin mempertimbang pelaksanaan pelan alternatif untuk menjadikan Firefly menjadi syarikat penerbangan nasional baharu Malaysia.

Bagi AirAsia X, syarikat penerbangan jarak jauh tersebut telah mengemukakan cadangan penstrukturan semula hutang membabitkan hutang tidak bercagar US$15.3 bilion kepada jumlah prinsipal sebanyak US$48 juta (RM200 juta) dengan bakinya terkecuali.

Berikutan isu insolvensi akibat pandemik COVID-19, AirAsia telah menutup operasi di Jepun selepas gabungan 33 peratus kumpulan syarikat penerbangan AirAsia Japan Co Ltd (AAJ) difailkan bagi tujuan bankrap dengan Mahkamah Daerah Tokyo.

Malah, lebih 23,000 pelanggan juga tidak dapat memperoleho bayaran balik.

Vaksin COVID-19 Suntik Prospek

Syarikat-syarikat penerbangan kini amat terjejas dengan sebahagian besar disifatkan dalam mod bertahan sedaya mungkin demi meneruskan kelangsungan berikutan aliran tunai yang kian kering lebih pantas daripada jangkaan serta untuk terus bertahan sehingga sekatan penerbangan ditamatkan.

MAHB misalnya mencatat kerugian bersih sebanyak RM431.17 juta dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept, 2020 berbanding keuntungan bersih RM507.53 juta bagi tempoh sama tahun lepas, manakala perolehannya susut kepada RM1.6 bilion daripada RM3.87 bilion sebelum ini.

AirAsia Group Bhd pula merekodkan kerugian bersih sebanyak RM2.66 bilion pada sembilan bulan pertama 2020 berbanding keuntungan bersih RM80.72 juta dengan perolehannya berkurangan kepada RM2.89 bilion daripada RM9.09 bilion.

Dalam pada itu, kerugian bersih syarikat sekutunya, AirAsia X meningkat kepada RM1.16 bilion dalam tempoh sama daripada RM393.67 juta sebelumnya.

Realitinya, ketika banyak industri lain meniti proses pemulihan berikutan pelonggaran PKP, industri penerbangan masih tidak menentu dari segi tempoh untuk membolehkannya terbang semula berikutan pasaran domestik yang tidak memadai untuk mengekalkan kelangsungannya.

Perkembangan positif membabitkan vaksin COVID-19, terutama yang dihasilkan oleh Pfizer dan BioNTech, ternyata turut menyemarakkan harapan membabitkan pemulihan perjalanan udara serta pembukaan semula sempadan antarabangsa.

Kalangan pengendali syarikat penerbangan dan kargo telah menyatakan kesediaan serta komitmen untuk mengutamakan kapasiti kargo bagi menghantar vaksin tersebut apabila ditawarkan di pasaran. BERNAMA

Syarikat penerbangan tawar khidmat kargo untuk kurangkan kesan krisis Covid-19

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker