71 pekerja kilang elektronik ditahan dalam parti liar

Seramai 71 individu termasuk pekerja asing sebuah kilang elektronik yang berparti liar di sebuah kondominium mewah di Jalan Sultan Ismail di sini, ditahan dalam serbuan, awal pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira 3 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi itu, seramai 23 individu menyertai parti itu turut dikesan menyalah guna dadah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata seramai 71 individu terdiri daripada empat lelaki tempatan, 41 lelaki warga Indonesia dan 26 wanita warga Indonesia ditahan dalam serbuan itu.

“Setelah ujian saringan awal dijalankan, seramai 23 individu didapati positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ganja dan ketamin.



“Kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 18 hingga 30 tahun dan hasil siasatan mendapati pengunjung parti liar itu adalah pekerja sebuah kilang elektronik di Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, permohonan reman akan dibuat ke atas kesemua suspek hari ini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Sekysen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No. 8) (Pindaan) (No.4) 2020.

Katanya, pihaknya memohon kerjasama masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan aktiviti parti liar di kawasan sekitar Dang Wangi.



Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222; Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran. BH

Instafamous kantoi jual minyak wangi tiruan



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker