Penganjur pertahan acara Miss Plus World Malaysia

Penganjur pertandingan ratu cantik Miss Plus World Malaysia/Ms Plus Intercontinental Malaysia tampil mempertahankan acara itu setelah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menuntut penganjurannya dibatalkan .

Yadim dalam kenyataannya semalam antaranya menyifatkan acara itu, yang disertai wanita bertubuh besar (plus-sized), sebagai “tidak menyumbang ke arah pembinaan akhlak”, selain mengeksploitasi wanita dan bersifat hedonistik.

Membidas kenyataan itu, penganjur berkata acara itu membawa banyak kebaikan.

“Pertandingan kami tak ada pertunjukan bikini atau pakaian renang, mahupun menumpukan kepada hal yang remeh-temeh.

“Matlamat dan visi kami adalah untuk meraikan, menggalakkan dan mengangkat kecantikan, kebijaksanaan dan keyakinan wanita bersaiz besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah penganjur, peserta turut menyumbang kepada nilai murni menerusi kerja kemanusiaan mereka selain memupuk kesedaran terhadap perlecehan fizikal (body-shaming) dan buli.

“Selain banyak melakukan dan menggalakkan kerja kebajikan dan pembangunan bangsa, ia turut membuka peluang dan pada masa sama memperkasa wanita,” katanya.

Oleh itu, penganjur berharap kerajaan akan menyokong acara berkenaan.

“Kami harap semua menteri, pemimpin, dan pihak bertanggungjawab akan membantu kami dan menyokong kami dalam niat mulia ini,” katanya lagi.

Pemenang pertandingan ratu cantik ini akan mewakili Malaysia untuk pertandingan Miss Plus World yang akan diadakan di Amerika Syarikat tahun depan.

“Menghalang wanita Malaysia daripada menyertai pertandingan antarabangsa ini akan menjadi satu kerugian besar buat negara dan dunia mungkin akan menaruh persepsi buruk terhadap negara ini berkenaan bagaimana ia melayan wanita,” kata penganjur lagi.

Penganjur turut memberi jaminan bahawa acara itu akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Tambahnya, acara itu lebih ke arah “gala virtual” memandangkan bilangan hadirin dihadkan, dan orang ramai boleh menonton siaran langsung di Facebook.

Semalam, Yang di-Pertua Yadim Nasrudin Hassan berkata pihaknya akan menghantar memorandum kepada penganjur dan juga pihak berkuasa tempatan bagi membantah penganjuran acara itu.

“Penganjuran program seperti ini pada asasnya memberi isyarat yang salah kepada rakyat yang melambangkan seolah-olah kerajaan dibawah kepimpinan perdana menteri hari ini merestui program sebegini untuk disajikan kepada rakyat.

“… Sedangkan umum mengetahui sikap kerajaan terutamanya perdana menteri yang amat serius dalam usaha membanteras segala aktiviti yang tidak menyumbang ke arah pembinaan akhlak dan adab yang terpuji.

“Yadim meyakini bahawa majoriti rakyat tanpa mengira sempadan agama dan bangsa tidak merestui program yang bukan sahaja tiada membawa manfaat kepada rakyat terbanyak bahkan mengundang kemurkaan Allah,” katany yang juga ahli Jawatankuasa Pusat PAS. Mk

Yadim bantah penganjuran Grand Final Gala Night

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker