Hamilton akui PETRONAS main peranan penting kejayaannya

 

KUALA LUMPUR: Juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton mengakui PETRONAS memainkan peranan penting terhadap kejayaan pasukan Mercedes-AMG PETRONAS yang mendominasi saingan perlumbaan Formula Satu (F1) kategori pengeluar sejak 2014.

Pemandu dari Britain itu, berkata ia termasuk menjadi watak penting terhadap kejayaannya yang muncul juara dunia buat kali ketujuh pada musim 2020.



Katanya, PETRONAS sentiasa memastikan jentera pasukan itu paling konsisten, tahan lasak, berkuasa tinggi dan efisien biarpun dalam keadaan dan suhu paling ekstrim.

“Kami perlu bergantung kepada PETRONAS untuk memberikan kami minyak paling efisien dan pelincir dengan rintangan paling rendah dan penyejukan yang mengekalkan suhu komponen.

“Enjin adalah jantung kereta, jadi kami perlu bercakap mengenai cecair yang menjadi darah kepada enjin kami.

“Petugas PETRONAS memberikan sokongan di Turin dan Makmal ‘Trakside’ di setiap Grand Prix bekerja keras setiap masa bekerjasama dengan mereka di HPP ((Mercedes AMG High Performance Powertrains) untuk membantu kami mencapai apa yang kami inginkan.



“Saya tidak rasa orang tahu, apabila kami bercakap mengenai dominasi, ini sebahagian utama mengenainya. Yang lain tidak melakukan seperti mana yang kami lakukan bersama PETRONAS,” kata Hamilton ketika sidang media secara atas talian bersama media terpilih baru-baru ini.

Musim 2020 menyaksikan pasukan Mercedes AMG-PETRONAS meneruskan dominasinya untuk memenangi gelaran juara kategori pengeluar dengan 573 mata selepas memenangi 13 daripada 17 perlumbaan musim ini.

Hamilton memenangi 11 perlumbaan manakala rakan sepasukannya Valtteri Bottas menang dua perlumbaan.

Musim 2020 turut menyaksikan Hamilton berjaya menyamai rekod juara dunia tujuh kali Michael Schumacher dengan mengumpul 347 mata, 124 mata meninggalkan rakan sepasukan di tempat kedua dengan 223 mata.



Dia turut meletakkan namanya sebagai pelumba F1 yang memenangi perlumbaan paling banyak – menang 95 perlumbaan, 98 kedudukan petak pertama dan 165 podium, lebih daripada pelumba lain dan dilabelkan peminat sebagai terbaik dalam sukan sepanjang masa, walaupun terpaksa tidak menyertai Grand Prix Sakhir di Bahrin, selepas diuji positif COVID-19.

Hamilton menjangkakan dia akan berdepan cabaran sukar dalam usahanya merekodkan gelaran dunia kelapan musim depan.

Pemandu berusia 35 tahun itu, berkata dia tidak pasti apa yang akan berlaku pada masa depan tetapi bersedia untuk bekerja lebih keras bagi mencapai cita-citanya itu.

“Ia akan membuatkan tugas yang banyak untuk rakan-rakan saya, menghadapi cabaran tahun depan untuk kami bina sebuah jentera. Ketika ini kami perlu bekerja secara terbuka, minda terbuka dan berusaha membaiki dinamik, dalam cara yang berbeza…bukan mudah untuk dipertingkatkan lagi setiap tahun.



“Jadi, sebenarnya saya tidak tahu bagaimana hendak mencapainya, tetapi tahu ia memerlukan kerja yang banyak, saya perlu bekerja lebih keras daripada sebelum ini, dan belajar lebih lagi untuk terus berada di tempat teratas dengan kereta ini lebih lagi dari tahun ini.

“Saya juga perlu mengerakkan rakan-rakan saya untuk lebih cekap dan pastikan mereka dahagakan kemenangan dan paksa mereka sehingga mereka berada pada tahap terbaik, tetapi tidak berputus asa,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker