Asrama ‘tin sardin’ 321 pekerja kilang perabot
MUAR: Asrama menempatkan 321 pekerja asing warga Myanmar, Bangladesh, Nepal dan Pakistan di sebuah kilang perabot di Jalan Ayer Manis boleh diibaratkan seperti “tin sardin”.
Perkara itu terbongkar apabila Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) melakukan operasi di lokasi berkenaan hari ini.
Bernama melaporkan Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan JTKSM Zaini Yaacob berkata, tempat tinggal pekerja asing terbabit juga didapati tidak terurus apabila bahagian tandasnya kotor dan tersumbat selain beberapa unit tidak berfungsi.
Katanya, melalui siasatan awal asrama pekerja asing yang asalnya sebuah bekas kilang itu juga tiada perakuan penginapan JTKSM selain tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Daripada operasi dilakukan, asrama mereka tidak ubah seperti sebuah bangsal…tempat tidur mereka dibina menggunakan papan lapis, seolah-olah kotak yang disusun secara bertingkat-tingkat, tidak mempunyai tilam,” katanya.
Operasi bersepadu bersama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) itu turut dihadiri Pengarah JTK Johor, Nasir Kassim.
Pada 3 Disember lalu, Menteri Sumber Manusia M Saravanan mendedahkan pada persidangan Dewan Rakyat, lebih 90% penginapan pekerja asing disediakan majikan di negara ini, tidak mematuhi Akta 446 yang membabitkan jumlah 1.4 juta pekerja.
Katanya, setakat 30 Okt lalu, kerajaan hanya menerima permohonan Perakuan Penginapan membabitkan 143,587 atau 8.89% daripada 1.6 juta pekerja asing di negara ini.
Sementara itu, Zaini berkata, majikan digesa mematuhi syarat dalam Akta 446 bagi menyediakan penginapan selesa kepada pekerja asing di negara ini lebih-lebih lagi dalam senario pandemik Covid-19 yang belum berakhir.
Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan majikan yang bersikap sambil lewa dan tidak mematuhi spesifikasi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 atau Akta 446.
“Majikan (kepada pekerja asing) terbabit akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 24D(1) Akta 446 kerana tiada perakuan penginapan.
“Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM50,000 manakala bagi kesalahan penyedia penginapan berpusat boleh didenda maksimum sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” katanya.
You must be logged in to post a comment.