Pasaran ASEAN dijangka hilang RM1.62 trilion akibat pandemik Covid-19

Pasaran ASEAN diunjurkan kehilangan AS$400 bilion (RM1.62 trilion) daripada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tahun 2020 dan 2021 akibat pandemik, berdasarkan laporan ASEAN Insurance Pulse 2020.

Menurut laporan tahunan yang dikeluarkan Malaysian Reinsurance Bhd. (Malaysian Re) itu, kerajaan di negara ASEAN telah melaksanakan pelaburan dan mengambil langkah dasar bernilai lebih AS$427 bilion (RM1.73 trilion) untuk menyo­kong ekonomi serta mengimba­ngi kerugian berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Re, Zainudin Ishak berkata, syarikat insurans turut melakukan usaha meluas untuk mengatasi impak Covid-19 dan pelbagai langkah kawalan yang dilaksanakan di seluruh rantau ini.

Jelasnya, persatuan, syarikat insurans dan pi­hak berkuasa te­lah menubuhkan dana ujian Co­vid-19 secara sukarela dan terus memberikan perlindungan ketika pemegang polisi terpaksa menunda bayaran premium mereka.

“Selain memberi persepsi positif kepada industri secara keseluruhan, syarikat insurans ASEAN turut memperlihatkan daya tahan dengan penyata imbangan kukuh serta terus memberi per­khidmatan secara digital sepanjang krisis,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Laporan ASEAN Insurance Pulse 2020 meneroka kesan pandemik Covid-19 terhadap ekonomi di rantau ini dan pasaran insurans, menerusi wawancara bersama para eksekutif daripada 30 syarikat insurans serantau dan antarabangsa, perantara, pembuat polisi dan persatuan perdagangan.

Ia menyelami denyut nadi eksekutif syarikat insurans di rantau ini tentang bagaimana pandemik membentuk pasaran mereka, langkah mitigatif yang diambil pengawal selia ketika krisis dan bagaimana wabak itu mengubah asas industri.

Menurut Zainudin, penerbitan tersebut mencerminkan soko­ngan berterusan pihaknya terha­dap komuniti ekonomi ASEAN dan pemegang taruh insurans serantau pada saat-saat sukar

Pelabur tarik dana keluar : Malaysia tempat pertama di Asean

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker