Malaysia perlu idea baru bukan gagasan atau perikatan – Tok Mat

Politik bangsa Melayu dan Malaysia terus berantakan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini melahirkan kebimbangan tentang perkembangan politik negara terutamanya yang melibatkan bangsa Melayu.

Katanya, selepas 10 bulan UMNO menyokong pembentukan kerajaan baharu, politik bangsa Melayu dan Malaysia terus berantakan.

Beliau juga berpandangan bahawa rakyat kebanyakan telah sangat bosan, muak dan jelik dengan pelbagai kenyataan, perlakuan dan pertembungan ahli politk bangsa Melayu terutamanya.

“Semua ini tidak menguntungkan bangsa. Semua ini meletakkan kedudukan bangsa Melayu pada kedudukan yang lemah dan tanpa haluan yang jelas,” katanya dalam hantaran terbaharu di laman Facebook.

Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu berkata, dalam keadaan sekarang ini mungkin yang diperlukan oleh bangsa Melayu bukan lagi gagasan, tetapi pencerahan tentang jalan bagaimana mereka akan menjadi lebih baik dan maju.

Malah, katanya, mungkin yang diperlukan oleh Malaysia itu bukan lagi perikatan politik demi perikatan politik tetapi dasar, idea dan kecerdikan baru untuk menjayakan Malaysia yang maju.

Menurut beliau, Hamka pernah berpesan: “Orang berakal hidup untuk masyarakatnya, bukan buat dirinya sendiri”.

“Malaysia sangat memerlukan mereka yang sebegini untuk tanah air ini.

“Mungkin tiba masanya kita tutupkan riwayat lama, bukakan lembaran baru. Baik hentikan termenung gundah gulana kerana apalah gunanya lama terharu.

“Akhirnya, cerita hari kemarin telah berlalu dan ceritanya sudah pun diceritakan. Hari ini, benih-benih baru tumbuh. Demikian juga Malaysia, ia perlukan benih dan inspirasi baru,” katanya. MG

Gagasan Baharu: BN, PN dan GPS Sepakat Metrai

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker